top of page

Beri diskaun e-hailing, bantuan khas kemudahan perjalanan OKU - Altimet

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
20 hours ago
2 min read
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman

Kerajaan dan pengendali platform e-hailing disaran mempertimbangkan insentif khas bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapatkan akses pengangkutan lebih mampu milik dari pintu ke pintu.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet berkata, kemudahan perjalanan percuma yang disediakan kerajaan menerusi pengangkutan awam tidak semestinya memenuhi semua keperluan perjalanan golongan berkenaan.


Menurutnya, perkhidmatan e-hailing penting khususnya bagi perjalanan ke lokasi tertentu dan urusan perubatan.


"Saya mencadangkan supaya platform e-hailing mempertimbangkan inisiatif khas untuk pengguna OKU.


"Ia tidak semestinya perlu dalam bentuk perjalanan percuma sepenuhnya kerana kita memahami bahawa platform e-hailing merupakan entiti perniagaan yang mempunyai kos operasi," katanya dalam satu kenyataan.


Altimet yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk pemberian diskaun khas OKU, baucar perjalanan bulanan, tambang khas ke hospital atau pusat rehabilitasi, pengecualian caj pembatalan dalam keadaan tertentu serta kemudahan tempahan awal.


Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan model subsidi bersama pengendali platform e-hailing bagi memastikan manfaat berkenaan dapat dilaksanakan secara mampan.


Pada masa sama, Altimet mengingatkan bahawa kebajikan pemandu e-hailing OKU yang bergantung kepada pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan juga perlu diberikan perhatian.


Katanya, mereka turut berdepan pelbagai kos operasi termasuk petrol, tol, penyelenggaraan kenderaan, insurans serta perbelanjaan lain.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan skim bantuan khusus yang merangkumi rebat bahan api, bantuan penyelenggaraan kenderaan, diskaun tayar dan alat ganti, insentif khas serta bantuan pengubahsuaian kenderaan mengikut keperluan pemandu OKU.


"Platform e-hailing juga boleh memperkenalkan program pemandu OKU, termasuk latihan, perlindungan kemalangan dan saluran sokongan khas bagi menangani isu yang mungkin dihadapi mereka ketika bekerja," ujarnya yang juga Ketua Cabang Ampang.


Menurut Altimet, golongan OKU tidak seharusnya dilihat hanya sebagai penerima bantuan atau pengguna perkhidmatan, sebaliknya turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada tenaga kerja yang berupaya menjana pendapatan sendiri.


Katanya, dasar berkaitan sektor e-hailing perlu mengambil kira dua aspek utama, iaitu memudahkan golongan OKU mendapatkan pengangkutan dan membantu pemandu OKU memperoleh pendapatan melalui pekerjaan berkenaan.


"Kerajaan, platform e-hailing dan pemain industri boleh bekerjasama untuk membina satu ekosistem yang lebih inklusif yang mana pengguna OKU mendapat akses pengangkutan yang lebih mampu milik, manakala pemandu OKU pula mendapat peluang ekonomi dan sokongan yang sewajarnya.


"Ini bukan soal memberi layanan istimewa semata-mata. Ini soal memastikan peluang untuk bergerak, bekerja dan mencari rezeki terbuka kepada semua," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page