Berhenti tunggang sentimen agama tanpa fakta - Dr Mohammad Agus
- Suara Keadilan
- Apr 7, 2023
- 2 min read

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menggesa semua pihak berhenti menggunakan sentimen agama dan perkauman sempit.
Menurut Dr Agus tindakan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang Malayu dengan dakwaan bangsa dan agama mereka terancam secara berterusan akan hanya menimbulkan ketegangan kaum
Lebih parah, dibimbangi hal itu akan menyebabkan negara terjerumus dalam keadaan kucar-kacir.
"Negara kita telah melalui tragedi akibat ketegangan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969, Memali 1985, dan Operasi Lalang 1986.
"Apakah kita mahu tragedi hitam politik negara tersebut berulang lagi? Tentunya tidak.
"Dalam sebuah negara majmuk, sarjana bersetuju etnik majoriti harus menguasai kuasa politiknya. Namun, ini tidak bermakna etnik majoriti boleh menafikan hak etnik minoriti.
"Ini telah lama dipersetujui dan sudah termaktub jelas dalam perlembagaan kita. Sayangnya, realiti politik kita tidak begitu,”katanya dalam satu kenyataan.
Mohammad Agus berkata begitu sebagai mengulas artikel dari Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bertajuk "Empangan Murtad Bakal Pecah".
Kata beliau artikel berkenaan amat tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
"Apa kandungan utamanya? Artikel ini menyatakan kedudukan Islam terancam kerana sejak kebelakangan ini, beberapa kes yang melibatkan kepentingan Islam telah difailkan di mahkamah yang bakal menyaksikan beberapa enakmen pentadbiran Islam di negeri-negeri bakal dicabar untuk dibatalkan.
"Sekiranya tuntutan ini berjaya, ia bakal menyaksikan semua mualaf yang diIslamkan melalui prosedur dan enakmen-enakmen yang dicabar tersebut akan dimurtadkan secara besar-besaran.
"Artikel ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan. Statistiknya tidak dinyatakan. Berapa kes mahkamah? Apakah yang kerajaan atau bukan Melayu telah buat sehingga Islam dikatakan terancam?" soalnya.
Mantan profesor itu turut menyifatkan penerbitan artikel tersebut hanya bertujuan untuk membangkitkan emosi perkauman supaya orang Melayu menolak kerajaan sekarang yang didakwa tidak menjaga kepentingan Melayu dan Islam.
"Oleh yang demikian, Dr Agus merayu anak muda dan rakyat Malaysia yang mahu melihat negara maju agar menolak sentimen kaum dan agama yang tanpa fakta dan data.
"Bagi saya, ini (artikel) pandangan mereka yang mindanya tertawan.
"Marilah kita berganding bahu membangunkan Malaysia Madani yang bertoleransi, berkeadilan dan bersatu padu.
"InshaAllah, dengan cara ini, kita boleh hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati. Negara kita pula boleh melangkah maju dan gagah untuk kembali perkasa di pentas dunia," kata beliau lagi.
Comments