Berhenti berbohong Terengganu ditindas - Hasbie Muda
- Suara Keadilan
- Apr 15
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Pakatan Harapan (PH) Terengganu menggesa naratif fitnah yang mendakwa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri itu segera dihentikan.
Pengerusinya, Hasbie Muda menegaskan, fitnah tersebut merupakan pembohongan bagi mencetus sentimen kurang senang dalam kalangan rakyat dan permainan politik keji seperti itu tidak wajar diteruskan.
"Dakwaan itu hanyalah rekaan untuk meraih simpati dan menanam kebencian kepada Kerajaan Persekutuan.
"Tohmahan telah terjawab menerusi titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan 408 projek pembangunan bernilai RM13.56 bilion untuk negeri itu.
"Titah Tuanku adalah satu pengiktirafan jelas bahawa Terengganu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan dalam aspek pembangunan, ssekaligus menolak tuduhan liar bahawa negeri ini telah dipinggirkan," katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyampaikan penghargaan tersebut menerusi titah baginda ketika Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-15 semalam.
Baginda turut menitahkan agar Kerajaan Negeri memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan lebih berkesan.
Sementara itu menurut Hasbie, PH Terengganu komited untuk memastikan setiap projek pembangunan diluluskan Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan sebaiknya demi manfaat seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira latar belakang politik.
Bagaimanapun tegasnya, pemimpin politik negeri itu juga perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar yang telus, berkesan dan berorientasikan rakyat.
Comentarios