Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyeru umat Islam supaya berdoa agar dapat beraya semula bersama keluarga dan rakan-rakan seperti sediakala.
Beliau mengakui, hasrat untuk menyambut hari raya Aidilfitri tahun ini seperti biasa tidak kesampaian.
"Suasana agak hiba menyambut lebaran dalam keadaan PKP, lebih-lebih lagi ada di antara kita yang masih belum lagi pulang ke kampung sejak lebaran tahun yang lalu.
"Dalam coretan Aidilfitri tahun lepas, saya berharap dapat kita bersama-sama menyambut hari kemenangan ini dalam keadaan Covid-19 yang telah reda, namun belum lagi kesampaian," katanya.
Justeru, Fahmi menyeru umat Islam supaya tidak putus asa bagi memastikan pandemik Covid-19 berakhir jua satu hari nanti.
"Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Allah, agar negara kita ini diselamatkan dari segala bencana, dan sama-samalah kita jaga sesama kita agar pada satu hari nanti dapat kita kembali pulih sebagai sebuah komuniti dan amnya, keadaan negara yang lebih baik buat semua.
"Daftar untuk vaksin, ajak rakan-rakan dan ahli keluarga untuk turut serta. Insya-Allah, kita bersua nanti di Aidilfitri tahun hadapan, semoga diizinkanNya," katanya.
Comments