top of page

Berdakwah pasang khemah tepi jalan perlu minta izin - Ust Syamsul Firdaus

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Tindakan kumpulan Street Dakwah yang gagal meminta izin daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menghadapi masalah baru baru ini di Bukit Bintang ditegur mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohmed Supri (gambar).


Menurut beliau niat mereka untuk menganjurkan aktiviti dakwah, kebajikan atau kemasyarakatan sememangnya sesuatu yang murni, namun pelaksanaannya perlu melalui saluran dan kaedah yang betul dengan mematuhi peraturan PBT.


Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan aktiviti sedemikian wajar memaklumkan terlebih dahulu agar PBT mempunyai rekod yang betul, dan tindakan penguatkuasaan tidak perlu dilakukan.


"Apa-apa pun aktiviti di atas satu tapak yang jelas di bawah bidang kuasa pihak berkuasa, kita kena mendapatkan izin. Contohnya kita lihat aktiviti busker, mereka buat (menyanyi di jalanan) dengan izin daripada PBT.


"Nak buat aktiviti dakwah itu tiada masalah… tapi biasalah, di mana-mana pun termasuk berdakwah dalam restoran.. jika tuan punya restoran izinkan tak akan jadi masalah.


"Sebenarnya tiada masalah kepada PBT jika sesuatu aktiviti dilaksanakan dengan cara yang betul. Contohnya, jika seseorang mahu mengadakan promosi atau memperkenalkan produk di sesuatu tapak, ia lazimnya dibuat dengan kebenaran PBT kerana ada prosedur dan adab yang perlu dipatuhi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pemasangan khemah oleh sebuah NGO di Jalan Bukit Bintang, berhadapan Bangunan Yayasan Selangor, yang mencetuskan tindakan penguatkuasaan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kemudiannya menjadi polemik dan kerajaan dipersalahkan, sedangkan tindakan itu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.


Mengulas lanjut, Ustaz Syamsul mengambil contoh aktiviti kutipan derma di tempat awam yang tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.


Katanya, walaupun tujuan mengutip derma itu baik, kaedah pelaksanaannya tetap perlu mematuhi peraturan kerana cara yang tidak teratur boleh memberi kesan kurang baik.


"Individu yang ingin mengutip derma perlu mendapatkan kebenaran daripada PBT termasuk pihak polis bagi memastikan kutipan tersebut adalah sah.


"Begitu juga dengan aktiviti dakwah yang sememangnya baik, namun ia perlu dilaksanakan secara teratur dan mematuhi peraturan.


"Jika berlaku sebarang insiden, PBT tetap akan dipertanggungjawabkan terhadap aktiviti yang dijalankan di kawasan bawah seliaan mereka," ujarnya lagi.


Pada 17 Februari lalu, DBKL mengesahkan terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di kawasan berkenaan oleh sebuah NGO sehingga tindakan penguatkuasaan diambil.


DBKL dalam kenyataan berkata, khemah itu dipasang di atas laluan pejalan kaki yang juga kawasan awam dan perlu sentiasa bebas halangan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.


"Susulan itu, petugas DBKL hadir ke lokasi untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak terbabit, namun selepas menunggu lebih 30 minit, tiada wakil tampil memberi kerjasama.


"Jadi, DBKL menurunkan khemah dan memindahkan bahan berkaitan untuk simpanan, selaras peruntukan undang-undang serta peraturan kecil yang berkuat kuasa," maklum DBKL.


Terdahulu, Pemuda Pas membantah tindakan DBKL menghantar 12 pegawai bagi menutup dan merampas bahan dakwah di reruai Street Dakwah di Bukit Bintang.


Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda Pas Mohamed Sukri Omar, berkata tindakan itu menimbulkan persoalan besar dari sudut kewajaran, keutamaan penguatkuasaan dan prinsip keadilan pentadbiran memandangkan ketika operasi dijalankan hanya seorang sukarelawan bertugas di reruai berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page