Bercuti jadi isu: Armada Bersatu akui kecemerlangan perkhidmatan Rafizi - Haziq
- Suara Keadilan

- May 3
- 2 min read

Isu Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bercuti sehingga 31 Mei ini yang dipersoalkan oleh Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid tidak lain kerana kecemerlangan Rafizi dalam mengendalikan ekonomi dan beliau diperlukan pada waktu Malaysia menghadapi tarif timbal balik dikenakan Amerika Syarikat.
Bagi Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Haziq Azfar, buah fikiran Rafizi jelas ditunggu tunggu oleh pembangkang kerana prestasi baiknya.
Menurut beliau, sekiranya Rafizi lembab sebagaimana menteri Kerajaan Perikatan Nasional lalu tidak ada sesiapa yang akan perasan sama ada Ahli Parlimen Pandan itu bekerja atau bercuti.
"Pertikaian ini hakikatnya adalah pengiktirafan jelas oleh pembangkang terhadap impak positif yang dilakukan oleh Rafizi yang berperanan sebagai Menteri Ekonomi bersama-sama pasukan dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
"Kami faham kerisauan Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid namun usahlah bimbang kerana dasar-dasar ekonomi jangka masa panjang yang jelas seperti Dasar Ekonomi Madani, Dasar Gaji Progresif, NETR, NIMP, RMK13 dan banyak lagi sudah ada bagi memastikan Malaysia terus kalis terhadap cabaran masa hadapan termasuklah sehingga meminimumkan kesan Perang Tarif Donald Trump terhadap negara kita.
"Sebagai perbandingan, tiada siapa pula hairan atau bertanya jika Menteri-Menteri atau pemegang jawatan dalam Kerajaan Perikatan Nasional terdahulu bercuti kerana kewujudan mereka pun langsung tidak signifikan terhadap rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Haziq lagi, rakyat hampir tidak tahu sama ada tokoh tokoh PN bekerja atau tidak pada waktu pentadbiran mereka, terutama Duta Khas Bertaraf Menteri ke Timur Tengah, Hj Hadi Awang yang tidak diketahui keberadaannya sepanjang 2020 - 2022 lalu.
"Contohnya, tiada siapa yang tanya kelibat Tuan Guru Haji Hadi Awang sebagai Duta Khas Bertaraf Menteri walaupun keberadaannya sentiasa tidak ada, kerana beliau langsung tidak meninggalkan impak atau memberi nilai tambah dalam menambah baik keadaan dalam negara kita," katanya lagi.
Semalam Harris berkata, ketiadaan Rafizi yang dilaporkan bercuti sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan dasar.
Katanya, rakyat mengharapkan Menteri yang memegang portfolio penting berkaitan pelaburan, ekonomi dan industri itu untuk memberikan komitmen penuh dalam memastikan kestabilan ekonomi serta daya saing industri negara.
Harris turut menggesa PM agar membatalkan kelulusan cuti Rafizi kerana negara amat memerlukan anggota Jemaah Menteri bekerja keras khususnya dalam bidang ekonomi untuk mencari penyelesaian terbaik bagi cabaran semasa.









Comments