Beras tempatan kurang laku, pertimbang kempen galak pembelian
- Suara Keadilan

- Sep 7
- 1 min read

Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengkaji langkah terbaik menggalakkan pembelian beras tempatan yang kurang mendapat sambutan di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbezaan harga beras tempatan yang tidak jauh berbeza dengan beras import membuatkan pengguna lebih cenderung memilih beras import.
Bagi menggalakkan semula rakyat memberi beras tempatan, KPKM jelasnya bercadang menggerakkan kempen beli beras tempatan.
"Beras kita (tempatan) harga RM26 bagi 10 kilogram kurang laku. Apabila ada beras import dengan harga hampir sama, beras tempatan mula ditinggalkan.
"Justeru kita sedang buat kajian secara mendalam hal beras ini. Kita kena buat kempen pula sekarang ini untuk beli beras tempatan," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bank Bergerak dan Kampung Angkat Madani di Kampung Pantai Mek Mas di Kota Bharu pada Sabtu.
Acara itu turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Sementara itu, mengulas mengenai penamatan subsidi telur ayam sejak 1 Ogos lalu, Mohamad berkata harga telur kekal terkawal di pasaran walaupun subsidi dihentikan.
"Alhamdulillah, setakat ini harganya terkawal. Bila bab makanan, kita tak boleh kata semuanya selesai, hanya boleh sebut reda dan lega," ujarnya.
Kerajaan menamatkan subsidi telur secara berperingkat bermula 1 Mei sebelum dihentikan sepenuhnya pada Ogos lalu bagi memastikan bantuan lebih bersasar kepada golongan memerlukan.









Comments