top of page

'Politik jujur demi Terengganu, bukan kepentingan peribadi'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12 minutes ago
  • 2 min read

Kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat bahawa UMNO Terengganu bersedia berbincang dengan mana-mana parti politik demi kepentingan agama, bangsa dan negara disifatkan sebagai satu pendirian politik yang rasional serta berpijak di bumi nyata.


Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, keterbukaan tersebut perlu dilihat dalam konteks realiti semasa rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad serta keperluan pembangunan negeri yang semakin mendesak.


"Dalam keadaan ini, politik permusuhan dan dendam lama sudah tidak relevan.


"Apa yang diperlukan ialah kejujuran politik, keikhlasan untuk berbincang serta keberanian mengetepikan kepentingan peribadi demi kepentingan rakyat Terengganu," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, keterbukaan untuk berdialog, termasuk dengan Pas Terengganu bukan tanda kelemahan atau tunduk kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencerminkan kematangan kepimpinan yang memahami keutamaan masa depan negeri.

Ahmad Nadhir Yob
Ahmad Nadhir Yob

"Masa depan negeri tidak boleh digadai demi ego individu atau percaturan kuasa sempit.


"Rakyat tidak menuntut siapa paling lantang melaungkan slogan, tetapi siapa yang benar-benar sanggup bekerja dan mencari penyelesaian," ujarnya.


Ahmad Nadhir menegaskan bahawa isu sebenar rakyat seperti kebajikan nelayan, peluang pekerjaan untuk anak muda, pengurusan hasil negeri serta ketelusan pentadbiran masih memerlukan penyelesaian segera dan tuntas.


Beliau turut menyatakan bahawa politik masa depan Terengganu perlu berpaksikan nilai, bersifat jujur dalam niat, terbuka dalam tindakan dan berani meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.


"Inilah politik yang wajar dipertahankan. Politik yang matang, berintegriti dan benar-benar berpihak kepada rakyat," katanya.


Namun begitu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai tahap kejujuran Pas sekiranya rundingan politik berlaku, dengan merujuk kepada rekod lampau.


"Persoalan yang bermain dalam fikiran apabila UMNO sudah bersedia berunding adakah Pas jujur? Rekod sebelum ni membuktikan Pas tidak pernah jujur dalam mana mana koalisi politik sebelum ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page