Amanat Menteri Pertanian perkukuh kedaulatan makanan negara langkah tepat
- Suara Keadilan

- 42 minutes ago
- 2 min read

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar, menyambut baik Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang bertemakan “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara”, disifatkan sebagai satu kenyataan dasar yang tepat pada masanya serta berpandangan jauh dalam mendepani ketidaktentuan landskap global.
Menurut beliau, amanat tersebut dengan jelas meletakkan isu makanan bukan sekadar sebagai soal pengeluaran atau kebajikan rakyat, sebaliknya sebagai teras keselamatan negara dan kestabilan sosial.
"Dalam dunia yang berdepan perubahan iklim, sekatan eksport dan ketegangan geopolitik, makanan telah muncul sebagai instrumen strategik yang menentukan daya tahan sesebuah negara," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz berpandangan langkah-langkah yang digariskan oleh Menteri, termasuk pengukuhan industri padi dan ruminan, pemerkasaan industri hiliran, pendekatan reverse investment serta penambahbaikan infrastruktur pertanian, merupakan asas penting ke arah memperkukuh kedaulatan makanan negara.
Namun, beliau menegaskan bahawa agenda tersebut perlu dilaksanakan dalam kerangka yang lebih luas, iaitu pembinaan kedaulatan sistem makanan negara secara menyeluruh.
"Kedaulatan makanan tidak boleh diukur semata-mata melalui peningkatan hasil atau kadar sara diri. Ia perlu merangkumi keupayaan negara mengawal input strategik, data, logistik, pasaran dan kestabilan harga agar sistem makanan negara kekal berfungsi walaupun berdepan kejutan luaran," jelasnya.
Menurut beliau, tanpa kawalan menyeluruh terhadap sistem makanan, pencapaian kedaulatan berisiko bersifat sementara dan rapuh.
"Tanpa kawalan ke atas sistem makanan, kedaulatan yang dicapai berisiko bersifat sementara."
Dalam konteks itu, Mahfuz mencadangkan agar pendekatan reverse investment diperkukuh sebagai sebahagian daripada portfolio keselamatan makanan nasional, khususnya bagi input kritikal seperti benih, baja dan makanan ternakan.
"Langkah ini bukan bertujuan menggantikan peranan pengeluar tempatan, sebaliknya berfungsi sebagai penampan strategik bagi melindungi rakyat daripada ketidaktentuan pasaran global," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pengukuhan industri padi dan ruminan perlu dinilai bukan sahaja dari sudut output, tetapi juga kestabilan pendapatan serta kesejahteraan keluarga petani, penternak dan nelayan.
Selain itu, Mahfuz berkata pemantapan industri hiliran dan infrastruktur pertanian harus dilihat sebagai usaha membina daya tahan sistem, termasuk mengurangkan pembaziran makanan, mengukuhkan rantaian logistik serta memanfaatkan data secara bersepadu bagi membolehkan kerajaan bertindak lebih awal sebelum krisis berlaku.
Secara keseluruhan, beliau menyifatkan amanat tersebut sebagai hala tuju yang jelas dan kukuh, dengan cabaran utama terletak pada pelaksanaan yang berdisiplin, berpaksikan hasil serta disokong oleh penyelarasan rentas agensi yang berkesan.
"Negara yang berdaya tahan bukanlah negara yang paling cepat bertindak ketika krisis, tetapi negara yang jarang terkejut kerana sistemnya telah bersedia lebih awal," katanya.
Mahfuz turut menyatakan keyakinan bahawa dengan komitmen berterusan kerajaan serta penglibatan semua pihak dalam ekosistem agromakanan, agenda memperkukuh kedaulatan makanan mampu menjadi asas kepada daya tahan negara yang sebenar dan berkekalan demi kesejahteraan rakyat serta generasi akan datang.









Comments