Pengenalan gred Beras Putih Malaysia Madani yang diumumkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang sebelum ini belum disahkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menurut Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, pengumuman gred baharu tersebut adalah pra-matang kerana tidak dibincangkan secara tuntas di pihak kementerian.
"KPKM ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat oleh YB Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Bukit Gantang pada 14 Februari 2024.
"Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, ujar Mohamad, pihak kementeriannya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri semalam yang memaklumkan cadangan gred baharu beras itu akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup yang akan datang.
"Justeru itu, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri," kata Mohamad lagi.
Comments