Ulang tahun penubuhan Wilayah Persekutuan ke 50 tahun ini memberi erti yang besar kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menteri Wilayah Persektuan, Dr Zaliha Mustafa dalam perutusannya sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini berkata, wilayah seharusnya lebih maju dan menjadi tempat yang lebih baik buat warganya pada hari mendatang.
"Tahun 2024 menandakan perjalanan 50 tahun Wilayah Persekutuan menjadi mercu tanda pembangunan negara. Melangkah bersama, kita terus membangun kestabilan, kemakmuran dan kebahagiaan bagi setiap rakyat di Wilayah Persekutuan.
"Selama setengah abad penubuhannya ini, Wilayah Persekutuan telah menjadi mercu tanda pembangunan ekonomi, sosial dan budaya di negara ini.
"Tema ‘Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni’ mencerminkan semangat kesejahteraan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat dan pastinya, melalui perpaduan dan kerjasama, kita akan terus membentuk masa depan yang lebih baik untuk generasi Wilayah Persekutuan yang akan datang," kata Dr Zaliha dalam kenyataan.
Justeru beliau menyeru agar masyarakat yang menghuni Wilayah Persekutuan terus bersatu padu dan bertoleransi untuk lebih memperkuat negara.
"Saya menyeru kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan untuk terus bersatu dalam kepelbagaian demi menjadikan Wilayah Persekutuan terus maju dan sejahtera.
"Selamat Menyambut Ulang Tahun Jubli Emas Wilayah Persekutuan," katanya lagi.
Comments