Benih padi tahan kemarau alternatif baharu atasi masalah cuaca
- Suara Keadilan

- Apr 7, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Cuaca panas dan kering yang melanda Kelantan dilihat menjejaskan penanaman padi di negeri berkenaan.
Susulan itu, Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan giat melakukan tanaman padi rintang kemarau sebagai alternatif baharu bagi berdepan dengan cuaca panas di negeri Pantai Timur itu.
Pengerusi KADA, Muhammad Husain berkata, setakat ini seluas 15 ekar bendang ditanam benih tahan kemarau tersebut. Antara projek percubaan ialah di bendang Muling, Padang Mokan, Kelantan.
"Saya dimaklumkan usia padi ini telah mencapai 83 hari. Nampak segar dan sihat walaupun hadapi kemarau panjang, dan rupanya ketiadaan air sejak 35 hari lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan itu, benih padi alternatif itu merupakan produk sulung keluaran Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan teknologi varieti padi bagi meningkatkan hasil padi negara.
"Oleh itu, saya melihat ada jalan keluar dari kemelut ini (kemarau) dan ianya menjadi pencetus kepada kebangkitan petani model baharu.
"Saya amat berharap agar para petani dapat terus meningkatkan hasil padi dengan lebih baik, InshaAllah," ujarnya.
Selain kaedah varieti padi tersebut, kerajaan juga akan melaksanakan operasi pembenihan awan pada bila-bila masa bagi menyelamatkan kawasan bendang padi yang terjejas akibat cuaca panas sejak kebelakangan ini.
Operasi itu dijangka tertumpu di kawasan sawah Kota Bharu seluas 2,000 hektar.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah memberi bantuan pam air di kawasan yang dilanda kemarau akibat iklim panas berbahang yang tidak menentu.
Usaha itu dilakukan melalui KADA bagi mengelakkan para petani di Kelantan mengalami kerugian akibat padi tidak menjadi atau mati.




Comments