top of page

Bengkel pembuatan mi tambah peluang jana pendapatan wanita Labuan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Junaidah (kiri sekali) bersama peserta Bengkel Pembuatan Mi Basah dan Mi Kering di Labuan
Junaidah (kiri sekali) bersama peserta Bengkel Pembuatan Mi Basah dan Mi Kering di Labuan

Seramai 45 orang wanita daripada pelbagai kampung di Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Bengkel Pembuatan Mi Basah dan Mi Kering yang dianjurkan secara percuma sebagai usaha memberikan kemahiran praktikal serta membuka peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan.


Program ini dianjurkan oleh Exco Wanita KEADILAN Malaysia, Junaidah Makku @ Junn, mewakili Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek sebagai sebahagian daripada inisiatif turun padang bagi menyantuni komuniti wanita, Generasi Z dan golongan belia.


Junaidah turut hadir bersama tenaga pengajar dari Sipitang, Siti Zuriadah Mohd Shahrey @ Beji, pemilik Altizam Enterprise, yang berpengalaman dalam bidang penghasilan makanan dan keusahawanan.


Beliau merupakan pengusaha keropok kering, kelupis frozen, kerepek sate ikan, serunding serta pelbagai produk makanan lain, dan berkongsi ilmu serta kemahiran praktikal kepada para peserta sepanjang bengkel berlangsung.


Peserta diberi penerangan mengenai program menambah pendapatan bagi wanita
Peserta diberi penerangan mengenai program menambah pendapatan bagi wanita

Menurut Junaidah, program tersebut bukan sekadar memberikan kemahiran memasak atau menghasilkan makanan tetapi bertujuan membuka ruang kepada wanita untuk melihat kemahiran tersebut sebagai potensi sumber pendapatan dan perniagaan kecil.


"Kita mahu wanita bukan hanya menerima bantuan tetapi diberikan ilmu, kemahiran dan keyakinan untuk berdikari serta membina sumber pendapatan sendiri.


"Kemahiran yang dipelajari hari ini boleh menjadi titik permulaan kepada sebuah perniagaan pada masa akan datang," ujarnya.


Junaidah turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir dari pelbagai kampung di Labuan serta memberikan komitmen sepanjang bengkel berlangsung.


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi JPKK merangkap Ketua Kampung Bukit Kuda, Zulkiflee Malik atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.


Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada Saudari Nurul Fadzlina, Pengerusi Belia Bukit Kuda merangkap Biro Belia JPKK, atas sokongan serta penglibatan golongan belia dalam menjayakan program berkenaan.


Program tersebut mendapat sokongan pimpinan KEADILAN Labuan apabila Ketua Wanita KEADILAN Cabang Labuan, Noriha Yakup hadir menyampaikan sumbangan daripada Ketua Cabang KEADILAN Labuan, Samsudik Sidek berupa beras dan gula kepada semua peserta kursus sebagai tanda sokongan dan semangat kepada para peserta.


"Saya amat menghargai sokongan pimpinan KEADILAN Labuan. Sumbangan ini mungkin sederhana tetapi ia membawa makna yang besar kepada peserta sebagai tanda bahawa usaha dan keperluan wanita di akar umbi sentiasa diberi perhatian," ujar Junaidah.


Turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Haziq Ruslain yang mengambil kesempatan membuka ruang pendaftaran keahlian KEADILAN kepada peserta dan komuniti setempat yang berminat.


Menurut Junaidah, pendekatan turun padang perlu diteruskan dengan melibatkan wanita, Generasi Z dan golongan belia, kerana mereka merupakan kelompok penting dalam membentuk masyarakat dan ekonomi masa hadapan.


Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan di lebih banyak kawasan dan memberi manfaat kepada lebih ramai wanita, khususnya mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil dari rumah.


"Ilmu hari ini, pendapatan esok. Kita mahu lebih ramai wanita berkemahiran, berkeyakinan dan mampu berdikari," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page