Bendera terbalik: Ambil tindakan atas kecuaian, jangan lunturkan semangat patriotik
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Pemasangan bendera Jalur Gemilang terbalik yang mencetuskan bantahan banyak pihak perlu diambil tindakan sewajarnya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (gambar) berkata, bendera merupakan lambang negara dan tiada alasan seseorang boleh khilaf memasangnya secara terbalik.
"Tindakan tegas yang setimpal wajar diambil oleh pihak berkuasa terhadap pesalah, dengan mengambil kira niat asal mereka. Sebarang kesilapan pula harus diberikan ruang untuk diperbetulkan.
"Jalur Gemilang melambangkan semangat, perjuangan dan perpaduan rakyat Malaysia. Pemasangan bendera kebangsaan oleh rakyat dalam bulan kemerdekaan mencerminkan semangat patriotik serta kesetiaan terhadap negara," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Naib Presiden KEADILAN itu juga menempelak pihak yang sengaja menjadikan isu pemasangan Jalur Gemilang sebagai bahan politik dan dikhuatiri akan menakutkan rakyat untuk memasang bendera tersebut, sehingga mengurangkan semangat patriotik pada bulan kemerdekaan ini.
"Kita mempunyai undang-undang dan pasukan penguatkuasa yang berperanan memastikan isu ini ditangani sewajarnya. Tidak perlu ada individu yang cuba menjadi ‘hero’ dengan mengapi-apikan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat.
"Tindakan keterlaluan segelintir pihak boleh menyebabkan orang ramai berasa takut atau enggan memasang Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan. Ini akan melunturkan semangat patriotik dan merugikan negara," katanya.
Tegas Lih Kang, sempena bulan kemerdekaan yang mulia beliau menyeru semua ahli politik untuk memikul tanggungjawab memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, dan tidak memecah-belahkan mereka.