top of page

Bendera Israel di Kelantan: Tidak wajar kibar simbol dikait keganasan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 2 min read

ree

Biro Kemanusiaan Wanita KEADILAN Pusat menggesa Kerajaan Kelantan mengambil inisiatif dan langkah proaktif bagi memastikan semua program awam mematuhi sensitiviti nasional dan antarabangsa.


Ketuanya, Nor Azmiza Mamat menyifatkan, Palestin sebagai isu sensitif dan menegaskan insiden pengibaran bendera Israel seharusnya tidak berulang pada masa akan datang kerana ia boleh mencemarkan imej negara dan menimbulkan kontroversi yang boleh merosakkan semangat perjuangan rakyat Malaysia.


Katanya, kejadian pengibaran bendera tersebut adalah sangat tidak sesuai dengan keadaan semasa meskipun pihak penganjur menjelaskan ia adalah simulasi atau lakonan semula situasi yang dihadapi oleh sukarelawan di Palestin.


"Tindakan mengibarkan bendera sebuah entiti yang bertanggungjawab ke atas kekejaman dan penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin adalah amat sensitif dan mengguris perasaan rakyat Malaysia yang sedang marah dan bersolidariti penuh untuk Gaza.

Nor Azmiza Mamat
Nor Azmiza Mamat

"Sensitiviti awam dan kemarahan terhadap kekejaman Zionis Israel harus diutamakan, dan sebarang kibaran simbol yang dikaitkan dengannya harus dielak walau atas niat apa sekalipun," bidas beliau dalam satu kenyataan.


Menurut Nor Azmiza, pihaknya merujuk kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang disifatkan sebagai kurang tegas dalam mengulas insiden tersebut dan seolah-olah cuba mengambil pendekatan berhati-hati terhadap pihak terlibat.


"Sebagai sebuah kerajaan daripada parti Islam, pihak Kerajaan Kelantan seharusnya mengeluarkan kenyataan yang tegas dan berprinsip bagi menolak sebarang bentuk normalisasi ke atas aksi penerimaan simbol berkaitan Zionis Israel.


"Penjelasan yang ringkas itu mencerminkan kegagalan kepimpinan Kerajaan Negeri untuk memahami dan menyantuni sentimen majoriti rakyat Malaysia, terutamanya dalam isu dunia yang melibatkan perjuangan suci ummah dan kemanusiaan," kata beliau.


Dalam kenyataan sama, Nor Azmiza sekali lagi menegaskan bahawa solidariti sebenar untuk Palestin adalah dengan menolak sebarang bentuk propaganda Zionis.


Katanya, program solidariti seharusnya menjadi platform untuk menyatukan sokongan terhadap rakyat Palestin dan bukannya menjadi pentas yang membuka ruang, walaupun sekecil mana untuk mempamerkan simbol musuh apatah lagi dikibarkan.


"Kami menggesa agar tindakan tegas diambil supaya tiada lagi kejadian yang sama berulang. Ini adalah satu isyarat jelas bahawa perbuatan yang boleh mencetuskan rasa kurang senang awam, melanggar undang-undang negara dan menyeleweng daripada objektif program solidariti tidak boleh diterima.


"Kami juga menyeru semua pihak, terutamanya penganjur acara, untuk lebih berhati-hati dan bijak dalam merancang sebarang gimik atau lakonan semula agar mesej solidariti yang sebenar tidak tercemar dan disalahertikan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page