
Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan serius dalam menangani isu pengurusan bencana di negara ini dengan memperkasakan sistem amaran awal bagi memastikan rakyat lebih bersedia menghadapi bencana, khususnya banjir seperti mana yang melanda di Selatan tanah air ketika ini.
Menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, hal itu perlu dilakukan segera merujuk kepada Ikhtiar Ketiga dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Menteri Kewangan pada minggu lalu.
Katanya, Menteri Kewangan amat prihatin ke atas nasib rakyat marhaen yang terpaksa berdepan malapetaka dan mengalami kerugian harta benda.
"Saya menyokong usaha tender semula projek-projek tebatan banjir serta peruntukan 150 juta kepada NADMA.
"Walau bagaimanapun, selain banjir negara kita juga dilanda bencana-bencana lain seperti tanah runtuh, kebakaran, hakisan pantai, gempa bumi dan tsunami,
"Saban tahun, begitu ramai rakyat yang terkesan terpaksa menanggung kerugian akibat musibah banjir. Bahkan negara juga perlu berbelanja tinggi melalui kerja-kerja menyelamat, pemindahan penduduk dan baik pulih selepas bencana.
"Mengapa kita tidak melabur supaya sistem amaran awal dapat diperbaiki dan lebih cekap. Dengan adanya sistem amaran awal yang cekap, rakyat dapat membuat persediaan awal menghadapi bencana dan jumlah kerosakan kerugian dapat dikurangkan," kata beliau.
Dalam ucapan Zahir semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 baru baru ini, beliau berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan Transdisciplinary Approach (TDA) dalam setiap usaha dengan memasukkan elemen pemerkasaan kerajaan setempat serta sukarelawan, penyediaan ICT, sistem komunikasi efektif dan kolaborasi antara agensi-agensi.
"Setiap keputusan serta tindakan perlu diambil dengan tepat berlandaskan data dan sains," ujarnya lagi.
Di samping itu, Zahir turut mencadangkan agar aspek pengurusan bencana diperluaskan kepada masyarakat melalui latihan dan kursus serta boleh dijadikan sebagai program pengajian di institut pengajian tinggi.
Opmerkingen