
Pengusaha bas sekolah merupakan golongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid 19.
Malah selepas wabak tersebut terkawal dan sektor lain berjalan seperti biasa, penguasaha bas sekolah masih menghadapi masalah dengan berkurangannya pelajar yang menggunakan perkhidmatan ditawarkan.
Menurut Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Menteri Besar Selangor, Dr Gunaraj George, Kerajaan Persekutuan seharusnya membela nasib pengusaha bas sekolah ini dengan membenarkan mereka menjalan kegiatan lain.
"Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib industri bas sekolah yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya sejak tahun 2019 akibat pandemik Covid-19. Tidak cukup dengan pandemik, pengusahanya terjejas pula akibat banjir yang melanda pada hujung tahun lalu.

"Buat masa ini mereka sudah buat segala persiapan dengan kos operasi yang sangat tinggi, namun permintaan daripada ibu bapa tidak begitu menggalakkan.
"Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan perlu membenarkan para pengusaha bas sekolah ini mencari sumber pendapatan tambahan dengan membenarkan mereka menggunakan kenderaan mereka untuk membuat kerja-kerja pengangkutan lain seperti menghantar penumpang atau barang," katanya.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sentosa itu lagi, pekerjaan sampingan kepada penguasaha bas sekolah sekurang-kurangnya dapat membantu membayar ansuran bulanan kenderaan dan kos selenggaraan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Pengusaha bas sekolah perlu diberi peluang menggunakan bas mereka untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Perkara ini perlu diberi perhatian khusus oleh Kerajaan Persekutuan kerana perkara ini melibatkan peraturan dibawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
"Dalam keadaan kini, pengusaha bas sekolah masih bergelut kerana hanya kurang 30% ibu bapa menggunakan perkhidmatan bas sekolah pasca Covid 19.
"Oleh itu, kerajaan harus bagi memberi peluang dan ruang kepada pengusaha bas untuk melakukan kerja-kerja tambahan," katanya selepas dijemput merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Selangor, semalam.
Beliau dalam ucapannya memuji pengusaha bas sekolah kerana bukan mudah untuk bangkit kembali selepas ramai pengusaha gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos penyelenggaran di samping hilang sepenuhnya punca pendapatan utama.
Comments