top of page

Benarkah Amanah Ikhtiar Malaysia akan diswastakan?



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta menjelaskan apakah benar spekulasi yang mendakwa Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diswastakan.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dakwaan tersebut perlu dijawab oleh kerajaan kerana ianya membabitkan usaha membasmi kemiskinan di negara ini yang tidak sesuai digalas tanggungjawabnya oleh pihak selain kerajaan.


"Kerajaan diminta mengesahkan sama ada benar AIM yang ditubuhkan lebih 30 tahun lalu sebagai sayap untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia melalui pembiayaan ikhtiar kepada penduduk miskin di luar bandar, akan dikorporatkan dan pihak swasta diberi ruang untuk memiliki ekuiti dalam AIM.


"Jika benar AIM diperbadankan, adalah dikhuatiri matlamat asal kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan akan gagal dan tidak akan tercapai, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang dihimpit oleh pandemik Covid-19.


"Difahamkan langkah perbadanan AIM ini disusuli dengan penyelesaian hutang atau pinjaman AIM daripada kerajaan pusat yang akan dibayar oleh pihak ketiga, iaitu sebuah syarikat swasta," kataya dalam satu kenyataan.


Bagi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, sekiranya tabung kemiskinan terbabit diperbadankan maka fungsinya mungkin terjejas dan menimbulkan tanda tanya mengenai nasib peminjam-peminjam yang terdiri daripada golongan miskin.


Katanya, kerajaan perlu mencari kaedah lain sekiranya AIM perlu diselamatkan. Penglibatan pelabur swasta, kata Shamsul, sama sekali tidak wajar di AIM.


"Saya khuatir langkah ini akan menggugat matlamat asal penubuhan AIM selain menjejaskan masa depan kakitangan yang sedang berkhidmat di AIM.


"Jika benar ia hendak dikorporatkan dengan ekuiti turut dikuasai oleh syarikat swasta yang tiada kaitan langsung dengan usaha pembasmian kemiskinan, kerajaan wajar membatalkan rancangan pengkorporatan itu, yang sudah pasti tidak akan memanfaatkan rakyat terutama

golongan miskin.


"Kita tidak mahu kes-kes masa lalu, program pengkorporatan yang membebankan rakyat miskin dan tidak berkemampuan berulang. Kesilapan masa lalu tidak harus diulang. Kerajaan perlu mencari cara lain untuk menyelamatkan AIM jika benar-benar AIM berhadapan dengan aliran wang tunai atau masalah kewangan," katanya lagi.


AIM merupakan sebuah badan amanah persendirian ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara Perjanjian AIM dan didaftarkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952. Tabung amanah itu dibiayai oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat Pembangunan Asia Pasifik.


AIM ditubuhkan berdasarkan pelan pembiayaan Bank Grameen di Bangladesh. Tabung itu diwujudkan untuk pembiayaan ikhtiar kepada penduduk miskin di luar bandar bagi membiayai kegiatan-kegiatan kecil-kecilan menambahkan pendapatan.


0 comments

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page