top of page

'Belot demi wang lebih bahaya daripada salah pasang Jalur Gemilang'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 20
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Penahanan lima pegawai kanan tentera yang disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket baru-baru ini dianggap sebagai pengkhianatan besar kepada negara.


Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad (gambar) menegaskan, tindakan bersekongkol dengan penyeludup adalah isu jauh lebih bahaya berbanding isu memasang Jalur Gemilang terbalik.


"Ini bukan kisah pakcik yang tersalah pasang Jalur Gemilang sehingga ratusan orang turun menjadi hero. Ini kisah pegawai kanan tentera yang sudah bersumpah taat setia kepada negara didakwa sanggup belot demi wang ringgit


"Bersekongkol bersama penyeludup menggadai masa depan anak bangsa kita. Mendedahkan mereka kepada gejala najis dadah, (malah) penyeludup ini bukan sahaja membawa masuk dadah mungkin juga senjata api," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.


Pada 14 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan sebuah portal berita, dipercayai terbabit sindiket penyeludupan.

Penahanan dilakukan menerusi Ops Sohor itu sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan tersebut yang beroperasi di selatan tanah air.


Sementara itu Wan Fauzuldin yang juga veteran tentera menjelaskan, di bawah Akta Angkatan Tentera 1972, kesalahan khianat melibatkan kedaulatan negara serta keselamatan rakyat termasuk dalam kategori ‘dahagi’ dan tidak boleh dikompromi.


"Bayangkan jika dengan bayaran RM30,000 hingga RM50,000 sanggup bocorkan maklumat, apakah mereka tidak akan sanggup menjual rahsia pertahanan negara kepada kuasa asing dengan bayaran jutaan ringgit? Ini bahaya yang mesti ditangani segera," katanya yang juga seorang pesara tentera.


Sehubungan itu Wan Fauzuldin menggesa isu pengkhianatan kepada negara dipandang serius oleh semua pihak terutama kerajaan.


"Namun rasa amat malang apabila masyarakat lebih sibuk mencerca satu sama lain hanya kerana isu Jalur Gemilang terbalik dan membisu dalam isu yang lebih bahaya ini," tegasnya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa menegaskan bahawa pentadbirannya tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara, khususnya berkaitan kebocoran maklumat dalam badan risikan.


Justeru, beliau memberi jaminan bahawa siasatan mengenai isu tersebut akan dijalankan secara menyeluruh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page