top of page

Belia360 perkasa belia melalui data raya, AI dan sokongan komuniti

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 13 hours ago
  • 2 min read
Senator Jufitri Johar dalam sidang media di Bangunan Parlimen selepas peluncuran Belia360
Senator Jufitri Johar dalam sidang media di Bangunan Parlimen selepas peluncuran Belia360

Inisiatif Belia360 diperkenalkan sebagai pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memahami serta memperkasa golongan belia di seluruh negara dengan memanfaatkan data analitik, teknologi digital dan jaringan komuniti.


Senator Jufitri Johar berkata, Belia360 bukan sekadar platform pengumpulan maklumat malah merupakan ekosistem sokongan belia yang dirangka secara holistik dan berasaskan realiti semasa.


"Belia360 menggabungkan data analitik, teknologi yang mudah diakses seperti AI Chatbot melalui WhatsApp, jaringan pementoran dan sokongan komuniti tempatan bagi memastikan setiap belia difahami dan dibantu secara lebih tepat," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen selepas majlis peluncuran program tersebut.


Belia360 merupakan satu inisiatif nasional bersepadu yang diwujudkan untuk menyantuni, memahami dan menyokong anak muda Malaysia secara menyeluruh, berterusan dan diperibadikan dalam mendepani cabaran kehidupan masa kini yang semakin kompleks dan tidak seragam.


Jufitri yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata pendekatan itu membolehkan kerajaan dan pemegang taruh mengenal pasti cabaran belia dan menyediakan solusi yang benar-benar bersesuaian dengan keperluan setempat.


"Kita tidak mahu lagi dasar yang bersifat umum dan ‘one-size-fits-all’. Dengan analitik deskriptif, diagnostik, prediktif dan preskriptif, kita boleh memahami keadaan sebenar belia, mengenal pasti punca masalah, meramal risiko masa depan dan seterusnya mencadangkan intervensi yang paling tepat," katanya lagi.


Menurut beliau, penggunaan AI Chatbot menerusi aplikasi WhatsApp membolehkan penglibatan belia dilaksanakan secara lebih meluas tanpa halangan teknologi.


"Kita memilih platform yang dekat dengan belia. Melalui WhatsApp, mereka boleh berkongsi pandangan, cabaran dan aspirasi secara mudah dan selesa. Ini membolehkan data dikumpul secara pantas dan berskala besar," katanya.


Belia360 menyasarkan liputan keseluruhan 222 kawasan Parlimen di seluruh negara termasuk kawasan bandar, luar bandar dan komuniti berisiko.


"Kita mahu gambaran yang benar-benar mewakili realiti di semua Parlimen. Pembangunan belia tidak boleh tertumpu di kawasan tertentu sahaja," katanya.


Mengulas komponen pementoran, Jufitri berkata jaringan mentor daripada latar belakang pendidikan, industri, keusahawanan dan kepimpinan sosial akan dipadankan dengan belia mengikut potensi masing-masing.


"Belia bukan sekadar penerima dasar, tetapi rakan strategik pembangunan negara. Melalui jaringan pementoran dan sokongan komuniti tempatan, kita membina ekosistem yang menyokong mereka secara berterusan," katanya.


Beliau berharap Belia360 menjadi asas penting kepada perancangan pembangunan belia negara dalam jangka sederhana dan panjang.


"Kita mahu setiap belia, tanpa mengira latar belakang dan lokasi, mempunyai akses yang adil kepada sokongan, bimbingan dan peluang. Inilah komitmen kita untuk masa depan negara yang lebih inklusif dan mampan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page