Belia Sungai Petani bakal nikmati kompleks sukan bernilai RM10 Juta
- Suara Keadilan

- Dec 29, 2025
- 1 min read

Golongan belia di sekitar Sungai Petani bakal menikmati kemudahan sukan moden apabila sebuah kompleks sukan bernilai RM10 juta dijangka dibina dalam masa terdekat.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, projek di Bandar Puteri Jaya itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan.
"Tapak pembinaannya dikenal pasti berhampiran kawasan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda. Proses perolehan dan sebagainya sedang berjalan dan saya akan memantau dari semasa ke semasa bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua pihak, untuk memastikan bahawa projek itu dapat dilaksanakan.
"Peruntukan awal diluluskan ialah RM10 juta, namun jika terdapat sebarang perubahan dari segi perancangan atau pelaksanaan, pengumuman lanjut akan dibuat," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya ditemui selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani di Padang Temusu pada Ahad.
Pembinaan kompleks sukan tersebut ialah antara inisiatif utama digerakkan Dr Mohammed Taufiq sejak menjadi Ahli Parlimen kawasan itu,
"Dengan adanya kompleks sukan yang lengkap, usaha mencungkil dan melahirkan atlet baharu akan menjadi lebih tersusun, sekali gus membuka lebih banyak ruang pembangunan bakat belia di peringkat akar umbi.
"KBS akan terus memfokuskan pembangunan belia, pembinaan pelapis kepimpinan negara serta pemerkasaan sukan sebagai medium penyatuan nasional merentasi kaum, agama dan fahaman politik," tambahnya.
Sementara itu beliau menegaskan komitmennya untuk terus memberi keutamaan kepada perkhidmatan rakyat di Sungai Petani meskipun kini memikul tanggungjawab sebagai menteri di peringkat pusat.
"Saya akan cuba meluangkan masa untuk bersama rakyat di Sungai Petani dan kebiasaannya berada di kawasan ini pada hujung minggu, kecuali jika terdapat urusan rasmi kementerian di Putrajaya," katanya.









Comments