top of page

Belia bina kekuatan, sesuaikan diri dengan cabaran semasa - Nurul Izzah

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • May 16
  • 2 min read
Nurul Izzah berucap pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2026. Kredit foto: FB JBSNegara
Nurul Izzah berucap pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2026. Kredit foto: FB JBSNegara

Golongan belia diseru supaya membina kekuatan diri, mempertahankan maruah serta mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran masa depan termasuk perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan media sosial, demikian kata Nurul Izzah Anwar.


Beliau yang juga Pengerusi POLITY berkata generasi muda perlu mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dengan keadaan semasa kerana dunia kini sedang berdepan perubahan yang semakin kompleks dan tidak menentu.


Menurut beliau, pembangunan yang dirancang hari ini juga perlu bersifat tahan cabaran dan kalis masa depan, khususnya dalam menghadapi ancaman perubahan iklim.


"Perubahan iklim pada masa depan mungkin dilihat sebagai perkara kecil. Tetapi apabila banjir melanda... berbilion ringgit kerugian boleh berlaku," katanya ketika berucap pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2026 di Sendayan hari ini.


"Masyarakat tidak boleh lagi melihat isu perubahan iklim sebagai perkara remeh kerana kesannya memberi impak besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat."


Hadir sama Presiden Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM), Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Nurul Izzah berkata, kemampuan seseorang menyesuaikan diri bermula daripada cara mereka mengurus kehidupan sendiri dan memahami keperluan sebenar dalam hidup.


"Segala-galanya bermula daripada unit dan sektor yang kecil. Jika kita memahami bagaimana hendak mengemudi kehidupan sendiri, Insya-Allah kita juga mampu berunding untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik, memperjuangkan hak serta kedudukan dalam organisasi, malah mengemudi negara," katanya.


Beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN menekankan, seseorang perlu memahami apa yang benar-benar diperlukan dalam hidup dan tidak mudah terpesona dengan status atau kuasa pihak lain.


"Kadang-kadang kita terlalu terpukau. Kita bertemu orang Barat, bertemu syarikat multinasional lalu merasakan kita sudah berjaya hanya kerana ditawarkan pekerjaan oleh syarikat besar dan kaya," katanya.


Menurut Nurul Izzah, budaya terlalu mengejar pengiktirafan luar dan obsesi terhadap imej diri di media sosial turut menyumbang kepada sikap narsisistik dalam kalangan masyarakat hari ini.


Katanya, ramai anak muda akhirnya menilai harga diri berdasarkan jumlah pengikut, tanda suka dan penerimaan masyarakat maya berbanding nilai sebenar diri mereka.


Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan isu geopolitik dunia, khususnya melibatkan pergantungan sesetengah negara kepada kuasa besar asing.


"Kita melihat perkara ini berlaku di negara-negara GCC apabila pangkalan tentera Amerika Syarikat ditempatkan di negara mereka dan digunakan untuk menyerang negara ketiga.


"Mereka dijanjikan perlindungan dan bantuan apabila diperlukan, tetapi adakah ia benar-benar berlaku? Tidak sama sekali," katanya.


Menurut beliau, maruah sesebuah negara tidak boleh dijual semata-mata untuk mendapatkan jaminan keselamatan daripada pihak luar.


"Cara kita mempertahankan diri bergantung kepada bagaimana kita menghargai maruah diri sendiri, bukannya menjual keselamatan demi mendapatkan sesuatu yang akhirnya tidak mampu diberikan oleh negara yang tidak menghargai kita," katanya lagi.


Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mengingatkan generasi muda supaya lebih berhati-hati terhadap pengaruh media sosial dan tekanan algoritma digital yang boleh membentuk emosi serta pemikiran masyarakat.


"Seperti yang dinyatakan dalam dokumentari The Social Dilemma, kalau hanya 10 orang mengecam kita mungkin kita masih mampu bertahan. Tetapi apabila ribuan komen menyerang kita, tekanan itu menjadi sesuatu yang luar biasa," katanya.


Beliau turut memuji keberanian golongan muda yang semakin lantang membincangkan isu semasa dan berharap mereka terus memainkan peranan membentuk naratif masa depan negara.


"Saya belajar banyak daripada keberanian dan kemampuan anak muda menyuarakan pandangan mengenai isu-isu penting. Teruskan perjuangan dan pastikan anda sendiri membentuk naratif masa depan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page