Belia ambil peranan pelapis pentadbiran masjid - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan
- 21 hours ago
- 1 min read

Stigma bahawa tanggungjawab mengimarahkan masjid hanya dipikul golongan warga emas atau pesara perlu diperbetulkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, naratif masjid perlu berubah seiring peredaran zaman, dengan ruang lebih luas diberikan kepada golongan muda untuk memainkan peranan dalam pentadbiran dan pengimarahan institusi tersebut.
"Masjid memerlukan kudrat dan idea segar orang muda. Kita mahu melihat anak muda mengambil peranan sebagai pelapis pentadbiran masjid.
"Peranan orang muda hendaklah diperluas bagi memacu profesionalisme dan kemampuan masjid itu sendiri, lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang giat memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Kita mahu masjid menjadi hab komuniti. Ruang masjid harus terbuka untuk aktiviti belia, diskusi ilmu, kesukarelawanan dan pusat kecemerlangan sosial merangkumi 10 gaya hidup di bawah Rakan Muda," katanya dipetik.
Dr Zulkifli berkata begitu pada Majlis Prapeluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di Putrajaya semalam yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memperkukuh agenda pembangunan belia yang holistik dan berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Sementara itu, KBS dalam kenyataan memaklumkan, Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di 15 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan 113 daerah di seluruh negara, dengan fokus utama ialah aktiviti keagamaan dan kesukarelawanan.
Kemuncak inisiatif ini ialah Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan sempena Iftar MADANI bersama Perdana Menteri pada 22 Feb ini, yang bakal menghimpunkan kira-kira 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan belia.





