Beli pesawat Boeing strategi perniagaan, tiada kaitan duit cukai rakyat
- Suara Keadilan

- Aug 4
- 3 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: 'Beli pesawat Boeing ini membazir duit cukai rakyat?'
Fitnah, tohamahan, sindiran melulu berdasarkan syak wasangka terus dilemparkan kepada Kerajaan Madani. Selain daripada mengheret nama PMX yang paling menerima kecaman teruk adalah adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz .
Mereka menggunakan media sosial untuk terus mengelirukan rakyat terhadap isu tersebut yang sekali gus dengan niat mahu memadamkan berita-berita baik atau cerita-cerita baik yang telah diumumkan Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Datok Seri Anwar Ibrahim.
Yang tidak faham ekonomi juga turut membuat ulasan secara semberono `ikut sedap mulut’ asal dapat memeriahkan media sosial bersama kumpulan-kumpulan pengkritik yang anti Kerajaan Madani.
Kononnya mereka mahu menunjukkan kecerdikan berhujah tetapi malangnya lebih menyerlahkan lagi betapa daif ilmu di dada.
Dalam berdepan kritikan dan tohmahan pedas ini, penulis amat menghargai sikap sabar dan cekal Tengku Zafrul yang berusaha gigih membuat pencerahan demi pencerahan berkaitan isu tersebut supaya dapat difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.
Pencerahan berkenaan tarif 19%
Penulis sendiri turut hadir dalam sidang media berkaitan tarif 19 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) yang diadakan pada 1 Ogos lalu di Menara MITI yang dihadiri oleh Tengku Zafrul dan pasukan kementerian tersebut.

Tujuan penulis pastilah untuk mendapat penjelasan lanjut berkaitan tarif serta info-info lanjut isu untuk dikongsi bersama pembaca.
Dalam sidang media tersebut Tengku Zafrul telah membuat pencerahan dan menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh pihak media termasuk pembelian pesawat Boeing terkait perdagangan timbal balik dengan AS.
Tidak cukup pencerahan pada sidang media, Tengku Zafrul membuat pencerahan pula melalui laman sosial beliau.
Menariknya Tengku Zafrul sewaktu membuat pencerahan telah menggunakan bahasa yang mudah sama ada melalui penulisan atau lisan untuk difahami melalui perkongsian dalam laman sosialnya.
Keputusan strategik perniagaan
Tengku Zafrul telah menjelaskan pembelian pesawat Boeing sebenarnya merupakan keputusan perniagaan strategik oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dan dibiayai menggunakan dana syarikat, bukannya duit cukai rakyat.
Menurut beliau, rancangan pembelian itu telah diumumkan seawal Mac 2025 lagi.
Jelas beliau, pada masa tersebut Presiden Donald Trump belum mengumumkan kadar tarif.
"Jika ada yang tidak percaya boleh tengok headline yang saya share di sini. Oleh itu, apa pula kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif? Apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan.
"Maksudnya, Malaysia menjual lebih banyak barangan ke AS berbanding membeli barang dari AS, jadi AS cuba nak kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif yang tinggi, 25%.
"Kita ambil peluang ini dengan menyenaraikan semua pembelian besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing ini. Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif," ujarnya.
Jelas Tengku Zafrul lagi, pendekatan itu menunjukkan kepada AS bahawa Malaysia juga pembeli besar produk mereka dan akhirnya meyakinkan mereka untuk menurunkan tarif eksport kita dari 25% kepada 19%.
Kepentingan syarikat, negara terpelihara
Strategi bijak tersebut adalah hasil perundingan yang teliti, memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara.
Hari ini sekali lagi Tengku Zafrul membuat pencerahan berkaitan isu tersebut iaitu dalam Sesi Penerangan Menteri - Mengenai Rundingan Perdagangan Timbal Balas Dengan Amerika Syarikat jam 11.30 pagi.
Taklimat tersebut bukan sahaja kepada Ahli Parlimen dan Dewan Rakyat tetapi juga menerusi YouTube Parlimen Malaysia.
Persoalannya kini, pencerahan yang bagaimana lagikah yang kalian mahukan daripada Kerajaan Madani berkaitan isu tersebut? Adakah masih lagi tidak mencukupi atau memang kalian sengaja menutup minda untuk menerima apa sahaja penambahbaikan yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Madani.
Bagi penulis mereka yang mahu mencari kebaikan pasti akan bertemu kebaikan tetapi bagi yang mahu mencari keburukan pasti keburukan juga membaluti jiwa mereka.









Comments