Belanjawan T'ganu 2026 tidak selesai masalah utama, KEADILAN cabar MB berdebat
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 2 min read

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu menyifatkan Belanjawan Negeri Terengganu 2026 yang dibentangkan semalam masih gagal menangani isu-isu asas yang menekan rakyat, walaupun digambarkan sebagai belanjawan berimbang dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.
Ketua Penerangan MPN KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, belanjawan itu tidak memberikan penyelesaian konkrit terhadap tiga masalah utama iaitu penghijrahan belia (brain drain), kelemahan sokongan terhadap Perusahaan Mikro, Kecil, Sederhana, dan ketelusan prestasi Exco negeri.
"Ramai anak muda terpaksa berhijrah ke negeri lain mencari pekerjaan. Ini mencerminkan kegagalan dasar ekonomi negeri.
"MPN KEADILAN Terengganu mencadangkan pelaksanaan "Pelan Penempatan Bakat Terengganu" yang memberi insentif kepada syarikat tempatan menggaji graduan negeri, memperluas peluang pekerjaan digital serta membina industri inovasi di Terengganu.

"Tanpa langkah strategik ini, negeri akan terus kehilangan tenaga mahir dan masa depan ekonomi akan terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aiman, Kerajaan Negeri juga sepatutnya memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan, namun belanjawan kali ini masih tidak menunjukkan strategi jelas ke arah itu.
"Dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, PMKS sepatutnya menerima sokongan khusus seperti insentif digitalisasi, pembiayaan mudah, program inkubasi dan latihan keusahawanan belia. Namun, usaha integrasi PMKS ke dalam ekosistem ekonomi negeri masih kabur dan tidak strategik," katanya.
Beliau juga menggesa Kerajaan Negeri memperkenalkan Indikator Prestasi Utama (KPI) bagi setiap portfolio Exco dan membentangkan laporan prestasi tahunan secara terbuka.
Katanya, tanpa indikator prestasi utama (KPI), belanjawan hanya kekal sebagai perancangan atas kertas. Sehubungan itu, MPN KEADILAN Terengganu menggesa laporan tahunan Exco dibentang secara terbuka agar rakyat dapat menilai keberkesanan pentadbiran sejak 2023.
Manakala bagi memastikan dasar ekonomi negeri dapat dibahas secara lebih terbuka dan profesional, MPN KEADILAN Terengganu turut mencadangkan agar diadakan satu Debat Ekonomi Terengganu antara Menteri Besar (MB) dan wakil MPN KEADILAN.
"Wacana sebegini akan menjadi platform ilmiah untuk membincangkan dasar ekonomi secara profesional, adil dan berfakta demi manfaat rakyat secara keseluruhan.
"Kami terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana media arus perdana yang ingin menjadi penganjur sesi debat ini," kata Aiman.
Beliau menegaskan, pembangunan sebenar bukan sekadar ucapan dan angka di atas kertas, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui keberanian Kerajaan Negeri melaksanakan dasar yang berpaksikan hasil sebenar serta memberi peluang saksama kepada rakyat.
"MPN KEADILAN Terengganu percaya pembangunan sebenar bukan sekadar di atas kertas, tetapi melalui langkah strategik yang memastikan ekonomi negeri bergerak ke hadapan demi kebaikan rakyat Terengganu," katanya lagi.





