top of page

'Belanjawan T'ganu 2026 tiada hala tuju jelas, kurang bela rakyat'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

KEADILAN Cabang Dungun menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu yang mengkritik Belanjawan Negeri Terengganu 2026 kerana gagal menawarkan penyelesaian menyeluruh terhadap isu ekonomi dan kebajikan rakyat.


Menurut Ketua Penerangannya, Syed Mohd Al Amin Tuan Sharif, belanjawan yang dibentangkan Kerajaan Negeri baru-baru ini masih belum menunjukkan hala tuju ekonomi yang jelas serta tidak menawarkan solusi konkrit kepada masalah mendesak rakyat, khususnya melibatkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi mapan.


"Masalah penghijrahan anak muda atau brain drain bukan lagi isu baharu di Terengganu. Setiap tahun, ramai graduan dan tenaga mahir terpaksa keluar mencari rezeki kerana kekurangan peluang pekerjaan dan ketiadaan industri bernilai tinggi," katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, KEADILAN Dungun menyokong cadangan MPN agar Kerajaan Negeri mewujudkan Pelan Penempatan Bakat Terengganu bagi menggalakkan syarikat tempatan menggaji bakat muda anak negeri serta memperkukuh sektor digital dan inovasi.


Cabang itu turut menegaskan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seharusnya menjadi tonggak utama ekonomi rakyat.


 Syed Mohd Al Amin Tuan Sharif
 Syed Mohd Al Amin Tuan Sharif

Malangnya, belanjawan dilihat gagal menyediakan pelan jangka panjang yang komprehensif bagi membantu pengusaha kecil, terutama dari segi insentif, pembiayaan dan pembangunan kemahiran keusahawanan.


"PMKS perlu dijadikan tonggak utama ekonomi rakyat. Namun, belanjawan kali ini masih tidak menampakkan pelan jangka panjang yang menyeluruh bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana.


"Insentif, pembiayaan serta latihan keusahawanan seharusnya menjadi keutamaan agar ekonomi rakyat bawahan tidak terus terpinggir," ujar beliau.


KEADILAN Dungun turut menyokong gesaan supaya laporan prestasi Exco Negeri dibentang secara terbuka, sekali gus membolehkan rakyat menilai keberkesanan pentadbiran berdasarkan prinsip ketelusan dan tadbir urus baik.


Dalam masa yang sama, cabang tersebut menyambut baik cadangan debat ekonomi terbuka antara Menteri Besar Terengganu dan MPN KEADILAN sebagai wadah demokratik dan ilmiah untuk membincangkan dasar-dasar ekonomi negeri secara profesional.


"Rakyat Terengganu tidak memerlukan retorik, tetapi tindakan berani dan penyelesaian sebenar. Belanjawan mesti berpaksikan hasil dan peluang, bukan sekadar angka di atas kertas," tegas Syed Mohd Al Amin.


Beliau menegaskan bahawa keberanian politik amat diperlukan bagi memastikan dasar ekonomi negeri benar-benar menyentuh keperluan rakyat dan menyediakan masa depan yang lebih kukuh untuk generasi akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page