Oleh: Abdullah Zaid
Belanjawan Selangor 2024 yang bakal dibentangkan pada petang ini oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menjadi tumpuan bukan sahaja rakyat Selangor tetapi juga seluruh negara kerana status negeri itu sebagai termaju di Malaysia.
Bagi Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai, Selangor yang menyumbang 25.5% Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK dijangka kali ini akan menfokuskan peruntukan kepada kesejahteraan rakyat setelah wujudnya sinergi pembangunan dari Kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Selangor antara negeri yang kaya di Malaysia yang menjadi penyumbang ekonomi negara sebanyak RM384 bilion dalam KDNK.
"Justeru, Selangor perlu meneruskan prestasi ini dan pada masa sama harus memastikan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan memandangkan Malaysia pada tahun hadapan, mungkin menghadapi kesan luaran seperti geopolitik dan (perubahan) iklim dunia," katanya menerusi wawancara Belanjawan Selangor 2024: Cabaran dan Harapan yang dikendali Sumberkini.
Mengulas lanjut, dalam memastikan belanjawan diagihkan secara saksama, Dr Barjoyai berkata Kerajaan Negeri perlu menumpukan perhatian kepada kumpulan rentan atau rakyat miskin.
Hal itu katanya, lebih 50 peratus kumpulan tersebut berpendapatan kurang RM2,500 sebulan di Selangor.
"Sedangkan kos sara hidup yang digariskan RM2,280. Jadi sudah pasti Kerajaan Negeri perlu meneliti dan membantu mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Barjoyai percaya kehadiran bekas menteri Persekutuan Datuk Seri Azmin Ali selaku Ketua Pembangkang bakal memberikan kesan semak dan imbang kepada belanjawan sekiranya pemimpin PN itu memainkan peranannya.
"Ia memberi satu perkara yang positif memandangkan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Ketua Pembangkang (Azmin Ali) mempunyai pengalaman dan pengetahuan menyeluruh dalam pentadbiran Selangor.
"Oleh itu, perkara ini akan mewujudkan check and balance (semak dan imbang) yang sangat baik dan mampu melonjakkan prestasi negeri Selangor," katanya lagi.
Untuk rekod, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini akan menumpukan peruntukan seiring dengan kerajaan pusat ke arah pemulihan ekonomi.
Beliau juga membayangkan belanjawan akan memberi peruntukan yang lebih besar kepada pembangunan agama Islam.
Menurut Speaker Lau Weng San, sesi pembentangan belanjawan yang berlangsung pada 3 petang ini akan disusuli persidangan dewan yang dijangka berlangsung selama dua minggu hingga 24 November.
Comments