Belanjawan Selangor 2026: Perkasa belia melalui pendidikan, kemahiran
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Petaling Jaya, Selangor komited memastikan setiap inisiatif Belanjawan Selangor 2026 sampai kepada golongan anak muda, demi memperkasa belia sebagai nadi kemajuan dan masa depan negeri.
Timbalan Ketuanya, Muhammad Shahrezza Abdul Rahman (gambar) berkata, pihaknya menyambut baik Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion, yang sekali lagi menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda
pembangunan belia di Selangor, khususnya di kawasan bandar seperti Petaling Jaya.
"Daripada jumlah tersebut, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.37 bilion memberi tumpuan kepada perkembangan program TVET, latihan digital dan inisiatif peningkatan kemahiran bagi memastikan golongan belia terus berdaya saing dalam ekonomi moden yang semakin mencabar.
"Bagi menangani tekanan kos sara hidup, belanjawan ini turut menyediakan subsidi
pembelajaran, sokongan pendidikan serta program penjanaan ekonomi untuk membantu belia memulakan kerjaya dan membina asas kehidupan yang lebih stabil," katanya sambil memuji kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu, ujar Muhammad Shahrezza berkata, peruntukan RM2.5 juta di bawah Program Pencerahan Generasi Muda Selangor turut akan memperkukuh pembangunan intelektual melalui latihan kepimpinan, pemikiran analitikal dan penyertaan dalam wacana dasar berimpak tinggi.
"AMK Petaling Jaya komited pastikan setiap inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan Selangor 2026 benar-benar sampai kepada golongan anak muda, demi memperkasa belia sebagai nadi kemajuan negeri dan masa depan Selangor," katanya lagi.
Pada 14 November lalu, Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion, meningkat sebanyak RM230 juta berbanding RM3 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.
Bertema 'Selangor Juara, Rakyat Sejahtera', Belanjawan Selangor 2026 merangkumi RM1.86 bilion (57.6 peratus) perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion (42.4 peratus) perbelanjaan pembangunan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, Belanjawan Selangor 2026 mengangkat enam tekad iaitu Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat; Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa; Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan; Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda; Selangor Negeri Penyayang; serta Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur.





