Belanjawan Selangor 2026 bukti kerajaan utamakan kesejahteraan rakyat
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Belanjawan Negeri Selangor 2026 bertemakan “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera” yang berjumlah RM3.23 bilion dibentangkan baru baru ini dilihat sebagai bukti jelas komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, terutama melalui fokus kepada sektor sosial, kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi.
Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 21, Ramachandran Arjenan, dalam satu kenyataan media menyatakan sokongan penuh kepada belanjawan tersebut, terutamanya terhadap kesinambungan dan penambahbaikan program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).
Menurut beliau, peningkatan had pendapatan kelayakan BINGKAS daripada RM3,000 kepada RM5,000 membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari terhadap keperluan keluarga yang menanggung beban perbelanjaan harian.
"Peningkatan had pendapatan bulanan pemohon daripada RM3,000 kepada RM5,000 membuktikan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin cakna dan prihatin terhadap impak yang dilalui oleh rakyat Selangor yang mempunyai tanggungan serta beban perbelanjaan keluarga," katanya.

Beliau menyifatkan BINGKAS sebagai antara inisiatif sosial paling berkesan dalam membantu keluarga B40 dan M40 rendah menghadapi tekanan kos sara hidup melalui bantuan e-dompet yang terus disalurkan untuk keperluan asas seperti makanan, barangan harian, ubat-ubatan dan pendidikan anak-anak.
Namun jelasnya, beberapa penambahbaikan wajar dipertimbangkan untuk memastikan keberkesanan program di peringkat pelaksanaan.
Antaranya ialah penambahan kuota penerima serta perluasan kriteria kelayakan agar lebih ramai keluarga berpendapatan rendah dapat dibantu; Pengkhususan kuota penerima melalui pemimpin tempatan seperti Ketua Kampung, Penghulu Mukim, Tok Batin dan Ahli Majlis bagi mengelakkan ketirisan serta memudahkan penilaian prestasi penyampaian bantuan; dan pemantauan terhadap pejabat ADUN pembangkang untuk memastikan hebahan program Kerajaan Negeri dipamerkan dengan sewajarnya memandangkan pejabat tersebut beroperasi menggunakan dana rakyat.
"Saya yakin pendekatan belanjawan yang berani termasuk defisit terancang ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri meletakkan rakyat sebagai fokus utama.
"Dengan kerjasama semua pihak termasuk PBT, komuniti dan peniaga, pelaksanaan bantuan seperti BINGKAS dapat memberi impak lebih holistik kepada keluarga di Selangor," ujar beliau lagi.
Ramachandran juga menegaskan komitmennya untuk membantu pelaksanaan BINGKAS di peringkat MPKj melalui program penerangan, pendaftaran, pemantauan dan penyelesaian isu bersama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 21.
Beliau menyimpulkan bahawa belanjawan ini bukan semata-mata angka, tetapi suatu pelaburan sosial untuk masa depan rakyat Selangor.









Comments