Belanjawan Selangor 2026 bukan sekadar urus angka, rangka masa depan
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor sedang giat memuktamadkan intipati Belanjawan Selangor 2026 yang bakal dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 14 November depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, belanjawan kali ini bukan sekadar mengurus angka semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai pelan hala tuju masa depan negeri untuk memastikan setiap dasar dan peruntukan disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Belanjawan kali ini akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan program baharu berteraskan pendidikan dan pembasmian kemiskinan agar rakyat terus maju seiring pembangunan negeri.
"Ia bukan sekadar mengurus angka, tetapi merangka masa depan dan memastikan setiap dasar serta peruntukan membawa manfaat sebenar kepada rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Hantaran tersebut menyusul sesi perbincangan di hadirnya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri serta Ketua-Ketua Jabatan bagi memuktamadkan intipati perancangan pembangunan negeri bagi tahun hadapan.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan, Belanjawan Selangor 2026 dirangka dengan pendekatan menyeluruh yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Dalam masa sama turut menumpukan perhatian terhadap pembangunan digital, ekonomi hijau dan agenda inklusif bagi memastikan Selangor kekal maju serta mampan.
"Insya-Allah, Belanjawan Selangor 2026 bakal membawa khabar gembira buat penjawat awam Selangor dan seluruh rakyat Selangor. Nantikan pembentangannya nanti," ujarnya.









Comments