Belanjawan Selangor 2026: ‘Bridging Budget’ mantapkan RS-2, RMKe-13
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Belanjawan Negeri Selangor 2026 bakal menjadi belanjawan bersifat “bridging budget” yang berperanan menghubungkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan tersebut memastikan kesinambungan dasar dan pembangunan negeri dilaksanakan berasaskan data terkini serta projeksi ekonomi yang diteliti pakar.
"Dalam dunia geopolitik yang semakin kompleks dan multipolar, Selangor harus mengekalkan kestabilan dengan berpaksikan kekuatan sebenar negeri ini iaitu modal insan berkemahiran serta lokasi strategik.
"Dengan visi Selangor: Gateway to ASEAN, negeri ini terus mengorak langkah sebagai pusat tumpuan rantau dan dunia," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Kenyataan itu menyusul sesi libat urus terakhir bersama pentadbiran Negeri Selangor sebelum pembentangan Belanjawan 2026.
Amirudin sementara itu berkata, Belanjawan kali ini berpaksikan kepada angka-angka dan data terkini, dengan projeksi berasaskan kajian teliti oleh pakar-pakar serta ahli ekonomi.
Ia akan memfokuskan kepada usaha membina negeri yang stabil, mampan dan berdaya tahan, selain mengekalkan Selangor sebagai pusat ekonomi utama Malaysia dan seterusnya mengangkatnya ke pentas global.
Selain itu jelasnya, aspek pendidikan akan menjadi tumpuan utama dalam belanjawan kali ini, khususnya memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing.
"Cabaran pendidikan kini menuntut ekosistem berbeza, Kerajaan Negeri akan memperkukuh TVET sebagai tonggak utama untuk membangunkan tenaga kerja dalam sektor baharu termasuk semikonduktor, aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI), dan ekonomi kreatif," tambah beliau.









Comments