Belanjawan Alternatif PN, perancangan ekonomi paling lemah dalam sejarah
- Suara Keadilan

- Oct 16
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Belanjawan alternatif yang diumumkan Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai "paling teruk dalam sejarah Malaysia” kerana gagal menampilkan perincian yang realistik dan bersifat retorik politik semata-mata.
Menurut aktivis Pakatan Harapan (PH) Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Sham Ghaz, walaupun pemimpin PN berbangga dengan penguasaan empat negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis namun pencapaian ekonomi negeri terbabit tetap kecil dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang jauh ketinggalan berbanding negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
"Gegak gempita laungan mereka konon hebat tapi empat negeri yang mereka tadbir semua KDNK 'ciput'.
"Paling melucukan, bila mereka bentang belanjawan alternatif, cuma mampu umum angka (bantuan) RM6,000 setahun kepada rakyat. Itu pun tidak rasional langsung," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Syam berkata, sekiranya seramai 10 juta rakyat menerima bantuan RM6,000 setahun seperti dijanjikan PN, jumlah keseluruhan akan mencecah RM60 bilion, iaitu empat kali ganda bantuan yang diberikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion.
Sedangkan kata Syam, jumlah bantuan yang diumum Anwar jauh lebih tinggi daripada bantuan tunai di bawah pentadbiran Perdana Menteri PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM6.5 bilion) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (RM7.8 bilion) sewaktu mereka berkuasa selama 33 bulan.
"Sekarang Anwar boleh bagi RM15 bilion dan rakyat merasa terus manfaatnya. Tapi PN yang dulu cuma bagi separuh pun dah bising macam dunia nak kiamat," katanya yang terus mempersoalkan di manakah PN mahu mencari dana memberi bantuan sehingga RM60 bilion.
Justeru, Syam mengecam kepimpinan PN termasuk Muhyiddin Yassin, Hj Hadi Awang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Mohamed Azmin Ali yang disifatkannya sebagai “geng tin kosong” kerana lebih banyak berpolitik daripada menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.
"Gempak konon buat retreat belanjawan, tapi hasilnya kosong. 100 peratus tin kosong. Kalau mereka perintah, anak menantu dulu yang kenyang, rakyat dapat sisa," katanya sinis.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat mendakwa kerajaan gagal menangani kos sara hidup rakyat dan tidak menumpukan kepada kesejahteraan ekonomi luar bandar.
Hamzah turut mengkritik inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah dan SARA kononnya bersifat “one-off” serta tidak menyelesaikan punca sebenar tekanan ekonomi rakyat.
Namun dakwaan itu disangkal oleh pihak kerajaan yang menegaskan bahawa pelbagai bantuan bersasar, subsidi dan langkah kawalan harga dilaksanakan secara berterusan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung sebaliknya berkata, Belanjawan Alternatif PN menunjukkan mereka tidak memahami tanggungjawab fiskal negara serta realiti kemampuan kewangan semasa.
"Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengumumkan bantuan besar tanpa mengambil kira kedudukan defisit dan hutang negara
"Pendekatan Kerajaan Perpaduan ialah memastikan bantuan sampai kepada yang layak, sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur," katanya.









Comments