Belanjawan 2027: Rakyat perlu rasai manfaat dasar, peruntukan – Yahya Sahri


Kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan dalam Belanjawan MADANI 2027 diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, pengurangan tekanan kos sara hidup dan kehidupan lebih baik untuk rakyat, kata Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri (gambar).
Beliau berkata, keberkesanan belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui hasil pelaksanaan dasar yang benar-benar dirasai masyarakat.
Menurutnya, penekanan terhadap bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM16 bilion, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 serta pelaburan dalam pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri bernilai tinggi merupakan antara langkah penting yang perlu dilaksanakan dengan berkesan.
"Namun, cabaran sebenar bukan sekadar mengumumkan peruntukan, tetapi memastikan setiap dasar memberikan hasil yang nyata," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahya berkata, bantuan kerajaan perlu sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, manakala langkah menangani kos sara hidup mesti memastikan kuasa beli rakyat terus terpelihara.
Katanya, kenaikan gaji juga perlu disusuli dengan peluang pekerjaan berkualiti dan pertumbuhan pendapatan yang mampan supaya rakyat dapat menikmati taraf hidup lebih baik.
Beliau turut menegaskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu mendapat sokongan pembiayaan, pendigitalan dan akses pasaran bagi meningkatkan produktiviti serta keupayaan menawarkan gaji lebih baik kepada pekerja.
Dalam masa sama, pelaburan dalam teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan industri bernilai tinggi perlu membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja tempatan serta memperkukuh syarikat tempatan.
"Pelaburan dalam teknologi, kecerdasan buatan dan industri bernilai tinggi mesti membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja tempatan, memperkukuh syarikat tempatan dan mengurangkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat," katanya.
Bagi Selangor, Yahya berkata, pelaksanaan peruntukan pembangunan, termasuk usaha menangani banjir, perlu dipantau secara telus dengan sasaran, garis masa dan hasil yang boleh diukur.
Menurutnya, rakyat berhak menikmati pembangunan yang mampu meningkatkan keselamatan, kemudahan awam dan kualiti hidup mereka.
Beliau turut mengingatkan bahawa disiplin fiskal dan tatakelola yang baik perlu terus diperkukuh bagi memastikan wang awam dibelanjakan secara berhemah serta bebas daripada ketirisan.
"Setiap ringgit wang awam perlu dibelanjakan secara berhemah, bebas daripada ketirisan dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan kejayaan Belanjawan MADANI 2027 bergantung kepada tiga perkara utama, iaitu peningkatan pendapatan rakyat, peluasan peluang ekonomi dan keberkesanan penyampaian kerajaan.
Katanya, kemajuan negara tidak seharusnya diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga berdasarkan kemampuan rakyat memenuhi keperluan hidup, peluang anak muda membina masa depan dan keupayaan keluarga menjalani kehidupan dengan lebih terjamin.
"Belanjawan yang baik mesti menghasilkan perubahan yang nyata. Setiap peruntukan perlu membawa manfaat, setiap dasar mesti memberikan hasil dan tiada golongan rakyat yang harus tercicir daripada arus pembangunan negara," katanya lagi.




Comments