Pekerja p-hailing nikmati tambahan RM100 sebulan, kerajaan jaga kebajikan rider


Pekerja penghantaran p-hailing dijangka menikmati peningkatan pendapatan bersih sehingga RM100 sebulan menerusi pakej bernilai RM160 juta yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab mulai 2027.
Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyambut baik inisiatif itu yang disifatkan sebagai langkah memperkukuh pendapatan, perlindungan sosial dan masa depan pekerja gig menerusi Belanjawan 2027.
Penasihat PPRPM, Bryan Ng Yih Miin berkata pakej berkenaan turut merangkumi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan, insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurutnya, pemandu e-hailing yang memperoleh pendapatan pada tahap median pula dijangka menikmati peningkatan sehingga RM227 sebulan.
"Bagi rider yang berdepan kos penyelenggaraan dan komitmen keluarga setiap bulan, tambahan pendapatan bersih mempunyai nilai yang besar.
"Kerjasama ini juga menunjukkan bahawa kebajikan pekerja perlu menjadi tanggungjawab bersama kerajaan dan penyedia platform," katanya dalam kenyataan.

Bryan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi perhatian kepada keperluan pekerja gig ketika menyediakan Belanjawan 2027.
Beliau berkata, kesediaan kerajaan mendengar cadangan dan rayuan yang dikemukakan PPRPM pada peringkat akhir penyediaan belanjawan amat bermakna kepada komuniti penghantar.
Dalam pada itu, PPRPM menyambut baik insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus yang meningkat kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman berkenaan.
Menurut Bryan yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, langkah itu dapat membantu meringankan kos perlindungan sosial pekerja e-hailing dan p-hailing yang berdepan risiko ketika menjalankan tugas.
Penerusan skim i-Saraan Plus dengan insentif padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had RM6,000 sepanjang hayat, turut dilihat sebagai usaha memperkukuh simpanan persaraan pekerja gig.
"Rider menanggung risiko setiap kali keluar mencari rezeki. Perlindungan sosial dan simpanan persaraan memberi mereka serta keluarga asas keselamatan kewangan yang lebih kukuh," katanya.
Selain perlindungan sosial, PPRPM turut menyambut baik kemudahan pembiayaan berjumlah RM270 juta melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank untuk pekerja gig yang mahu memulakan perniagaan atau membeli rumah pertama.
Bryan berkata, akses kepada pembiayaan itu perlu mengambil kira corak pendapatan pekerja gig, selain disertai syarat yang jelas dan proses permohonan yang mudah.
"Dengan pelaksanaan yang sesuai, kemudahan ini boleh membantu rider membina perniagaan dan kestabilan keluarga," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keberkesanan inisiatif berkenaan bergantung kepada pelaksanaan yang memastikan setiap bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
Sehubungan itu, PPRPM bersedia bekerjasama dengan kerajaan, agensi berkaitan dan penyedia platform bagi menyampaikan maklumat, membantu urusan pendaftaran serta menyalurkan maklum balas pekerja penghantaran untuk menambah baik pelaksanaan dasar.
Bryan berkata, gabungan sokongan pendapatan, perkongsian kos, perlindungan sosial, simpanan persaraan dan kemudahan pembiayaan mampu memperkukuh asas pembangunan ekonomi gig untuk jangka panjang.
"Rider menggerakkan ekonomi setiap hari. Mereka juga berhak menikmati pendapatan yang bermaruah, perlindungan yang kukuh dan peluang membina masa depan yang lebih baik," katanya lagi.




Comments