top of page

Belanjawan 2027: PMKS perlu peluang tingkat produktiviti, pendigitalan, automasi

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
19 hours ago
2 min read
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri

Kejayaan Belanjawan MADANI 2027 dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diukur berdasarkan peningkatan pendapatan usahawan, pertumbuhan perniagaan dan peluang pekerjaan yang diwujudkan, bukan sekadar jumlah peruntukan diumumkan kerajaan.


Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, pelaksanaan belanjawan perlu memastikan kemudahan pembiayaan, insentif cukai dan bantuan pendigitalan benar-benar sampai kepada usahawan tempatan bagi memperkukuh daya saing serta kelangsungan perniagaan mereka.


Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan digesa agar pelaksanaan belanjawan memberi penekanan kepada tiga aspek utama seperti memastikan pembiayaan sampai kepada usahawan yang memerlukan.


"Proses permohonan mestilah telus, mudah difahami dan bersesuaian dengan kemampuan PMKS, khususnya perniagaan mikro yang sering berdepan kekangan modal serta aliran tunai.


"Kedua, memperluas pasaran dan peluang perniagaan. PMKS perlu diberikan peluang lebih besar untuk menyertai rantaian bekalan, pembekalan kepada syarikat besar, perolehan kerajaan yang layak serta pasaran eksport.


"Pembiayaan akan memberikan kesan lebih bermakna apabila disokong oleh permintaan dan peluang jualan yang berterusan.


"Ketiga, menghubungkan bantuan dengan peningkatan produktiviti. Pendigitalan, automasi, latihan dan pemodenan peralatan perlu membantu PMKS mengurangkan kos, meningkatkan mutu produk serta membina perniagaan yang mampu bersaing dalam jangka panjang.


"Pada masa sama, pelaksanaan gaji minimum baharu perlu diurus secara teratur dengan mengambil kira ketetapan dan pengecualian yang diumumkan kerajaan, supaya kelangsungan PMKS dapat dipelihara tanpa mengabaikan kebajikan pekerja," katanya menerusi satu kenyataan.


PMKS perlu berkembang


Dalam kenyataan sama, Mohd Yahya berpandangan bahawa kerajaan perlu memperkukuh pemantauan dan pelaporan pelaksanaan Belanjawan MADANI 2027, termasuk jumlah permohonan dan kelulusan pembiayaan, nilai dana yang benar-benar disalurkan, bilangan penerima mengikut kategori perniagaan serta pencapaian selepas bantuan diterima.


Beliau menyifatkan, ketelusan itu merupakan satu penting demi memastikan setiap ringgit wang awam memberikan pulangan ekonomi yang optimum dan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasaran.


"Kita tidak mahu PMKS sekadar mampu bertahan dari satu bulan ke satu bulan berikutnya. Kita mahu mereka berkembang, mengambil lebih ramai pekerja, meningkatkan pendapatan, membina jenama sendiri dan berani menembusi pasaran yang lebih besar.


"Secara keseluruhannya, Belanjawan MADANI 2027 menyediakan asas penting untuk memperkukuh PMKS dan meningkatkan daya saing ekonomi negara.


"Saya menyokong usaha kerajaan memperluas peluang kepada usahawan tempatan dan berharap setiap inisiatif dilaksanakan dengan cekap, inklusif serta berorientasikan hasil.


"Kejayaan ekonomi tidak seharusnya hanya dinikmati oleh syarikat besar. Ia mesti turut dirasai oleh penjaja, pengusaha mikro, peniaga kecil, pengeluar tempatan dan jutaan pekerja yang menjadi penggerak ekonomi negara," katanya yang menyambut baik Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page