Belanjawan 2027: Perkukuh agenda Bumiputera dalam Ekonomi MADANI


Belanjawan 2027 memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi, disiplin fiskal dan kebajikan rakyat, termasuk memperkukuh pemilikan aset serta penguasaan ekonomi Bumiputera.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu membuktikan perlunya kemajuan negara terus diterjemahkan kepada peluang ekonomi, peningkatan pendapatan dan kehidupan lebih bermaruah.
"Saya menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2027 oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggembleng keseluruhan RM510 bilion melalui perbelanjaan Persekutuan dan pelbagai pelaburan berkaitan
"Peruntukan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif, termasuk RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), mencerminkan perhatian kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
"Sementara peruntukan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan dan RM47.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan, selain peningkatan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200, menunjukkan usaha memperkukuh akses pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial rakyat," katanya dalam kenyataan.
Menurut Saifuddin, Belanjawan tersebut turut menegaskan agenda pemerkasaan Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif berteraskan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Ia antaranya termasuk penyediaan tanah strategik seluas 50 ekar bernilai RM1 bilion sebagai endowmen kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra serta pembangunan sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI di Belfield, dengan 70 peratus dikhususkan kepada Bumiputera.
"Pemerkasaan Bumiputera perlu menjadi sebahagian daripada usaha membina ekonomi negara yang lebih adil dan berdaya saing.
"Masa depan Bumiputera tidak boleh terus bergantung pada bantuan semata-mata. Sebaliknya, kita perlu membina kekuatan melalui pemilikan aset, peningkatan kemahiran dan keupayaan ekonomi yang dapat diwariskan kepada generasi seterusnya," katanya.
Justeru menurut beliau, langkah meningkatkan perolehan kerajaan bagi kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 daripada RM4 bilion kepada RM7.5 bilion bakal membuka potensi yang memperluas peluang perniagaan dan memperkukuh penyertaan mereka dalam ekonomi negara.
Manakala sasaran perolehan RM58 bilion oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PETRONAS, pembiayaan sehingga RM1 bilion melalui TERAJU serta RM500 juta melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sebagai antara usaha strategik memperkukuh keupayaan ekonomi Bumiputera.
"Pelaburan dalam pendidikan dan kemahiran juga penting. Peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta usaha MARA melatih dan menempatkan 1,000 belia Bumiputera dalam sektor berpertumbuhan tinggi perlu dimanfaatkan sepenuhnya," tambahnya.
Menerusi kenyataan tersebut, Saifuddin menegaskan bahawa keberkesanan belanjawan yang diumumkan amat bergantung kepada kecekapan, ketelusan dan kelancaran pelaksanaan di peringkat kementerian, agensi serta GLC terbabit.




Comments