top of page

Belanjawan 2027: Pelbagai inisiatif tingkat kemahiran, kebolehpasaran belia

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
12 hours ago
2 min read

Kerajaan MADANI menyasarkan 30,000 peluang pekerjaan baharu dapat disediakan kepada golongan belia.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bakal dilaksana menerusi inisiatif BAKAT MADANI dilancarkan hasil komitmen enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), PETRONAS dan rangkaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


"Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta, potongan cukai diberikan kepada syarikat yang melaksanakan program latihan BAKAT MADANI mulai 29 Jun lalu hingga 31 Disember 2030," katanya pada pembentangan Belanjawan 2027 semalam.


Menurut Anwar, sebanyak RM8 bilion juga akan diperuntukkan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) rentas kementerian bertujuan meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran dalam kalangan golongan belia.


"HRD Corp dengan dana RM3 bilion akan menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran termasuk pembangunan profesional berterusan dalam kalangan golongan profesional.


"Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan RM500 juta bagi membiayai pelatih mengikuti program latihan kemahiran di institut latihan kemahiran awam dan swasta berdaftar dengan PTPK," jelasnya.


Pada pembentangan itu Anwar turut memaklumkan, Kolej Komuniti bakal terus menawarkan kursus pendek kepada anak tahfiz sebagai laluan ke pekerjaan, keusahawanan dan pengajian tinggi.


Sementara anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat perkhidmatan juga akan dibekalkan dengan latihan kemahiran melalui kerjasama, antaranya dengan Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dan Akademi Laut Malaysia.


"Majlis Amanah Raya (MARA) melatih serta menempatkan 1,000 belia Bumiputera dalam sektor berpertumbuhan tinggi. Kemahiran pelatih pendawaian elektrik GIATMARA akan dimanfaatkan bagi membaik pulih pendawaian 20 ribu rumah keluarga miskin," tambah Menteri Kewangan itu.


Bagi membuka lebih peluang kerjaya serta mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bakal melatih 10,000 belia dalam sektor teknologi robotik dan digital.


Manakala Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) pula membuka laluan kerjaya automotif berkemahiran tinggi kepada graduan menerusi Program Advanced Automotive Technology," katanya.


Bagi pembangunan bakat belia kaum India, Kerajaan bakal meningkatkan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta bagi menyediakan latihan serta peluang pekerjaan kepada belia India meliputi bidang seperti automasi industri, teknologi dan penyelenggaraan pesawat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page