Belanjawan 2027: Pacu pekerjaan bernilai tinggi - Akmal


Belanjawan 2027 perlu memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan kemahiran serta pendapatan lebih baik kepada rakyat, demikian kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata tumpuan itu penting bagi memastikan angka pelaburan dan pertumbuhan ekonomi yang dicatat negara memberi pulangan yang lebih nyata kepada rakyat termasuk melalui peningkatan teknologi, inovasi dan produktiviti firma tempatan.
"Untuk Belanjawan 2027, di peringkat Kementerian Ekonomi kita sudah (beri) perakukan supaya untuk soal dari segi vendor dan sebagainya mereka kena terus tingkatkan keupayaan dari segi teknologi dan inovasi," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian di Putrajaya hari ini.
Akmal berkata kerajaan juga perlu menilai sejauh mana pelaburan yang masuk ke negara membawa kepada pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran serta peningkatan produktiviti firma tempatan.
Jelasnya ukuran kejayaan pelaburan tidak seharusnya terhad kepada nilai pelaburan yang diumumkan, sebaliknya turut mengambil kira kesannya terhadap struktur ekonomi dan pasaran pekerjaan.
"Adakah pelaburan itu membawa ke arah pemindahan teknologi? Adakah pelaburan yang berlaku itu membawa ke arah peningkatan kemahiran? Adakah pelaburan yang berlaku itu juga menyebabkan firma-firma yang ada, firma-firma kita terutamanya lebih produktif?" katanya.
Beliau berkata tumpuan terhadap industri berimpak tinggi atau HGHV yang diberikan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini juga perlu dilihat dari sudut keupayaannya mengubah struktur gaji negara.
Akmal menekankan agar dasar pembangunan ekonomi turut perlu mengambil kira jurang pembangunan antara wilayah bagi memastikan manfaat pertumbuhan tidak tertumpu di negeri tertentu sahaja.
Katanya kerajaan sudah menetapkan peruntukan pembangunan bagi enam negeri yang berada di bawah median nasional ditingkatkan, dengan peruntukan pembangunan asas 2026 berjumlah RM20 bilion, meningkat lima peratus.
"Kalau tidak dilihat dari segi kepentingan merapatkan jurang antara wilayah, cabarannya statistik itu hanya akan menjurus angka baiknya hanya kepada beberapa negeri," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata pengurusan kos sara hidup dan kestabilan harga perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan gaji supaya peningkatan pendapatan benar-benar meningkatkan kuasa beli rakyat.
Beliau berkata inflasi ketika ini berada pada tahap sederhana namun kestabilan harga dan pengukuhan kuasa beli perlu terus diberi perhatian.
"Kalau kita tekankan kenaikan gaji sekalipun tetapi kos hari hidup ini tidak diuruskan dengan baik, peningkatan itu tidak memberi kesan yang ketara ataupun yang lebih baik," katanya.
Akmal berkata matlamat akhirnya ialah memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat khususnya melalui pekerjaan yang lebih bernilai dan pendapatan yang lebih baik.
"...bila kita bercakap soal pertumbuhan ekonomi pertumbuhan itu bagi rakyat sudah pasti mereka mahukan ia diterjemah ataupun boleh dirasai di peringkat mereka dan dalam soal gaji yang pertama kita kena pastikan bahawa firma-firma yang produktif ini dapat mampu terus berkembang," katanya lagi.




Comments