top of page

Belanjawan 2027: AMK Sabah cadang wujudkan 10,000 peluang kerja anak muda

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
3 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah mencadangkan kerajaan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda di negeri itu secara berperingkat menerusi Belanjawan 2027.


Ketuanya, Zaidi Jatil (gambar) berkata, inisiatif berkenaan perlu dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan, agensi pembangunan dan sektor swasta bagi menangani masalah pengangguran serta memastikan lebih ramai anak muda mendapat pekerjaan dengan pendapatan munasabah di negeri sendiri.


Menurutnya, Sabah masih berdepan cabaran besar dalam menyediakan peluang pekerjaan apabila kadar pengangguran negeri itu pada 2025 dilaporkan sebanyak 7.2 peratus, berbanding kadar nasional 3.0 peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


"AMK Sabah berharap kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti di Sabah, khususnya dalam sektor perindustrian, pelancongan, pertanian moden, teknologi dan ekonomi digital.


"Kita mahu anak muda Sabah mempunyai lebih banyak pilihan pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah di negeri sendiri," katanya dalam kenyataan media mengenai aspirasi AMK Sabah bagi Belanjawan 2027.


Zaidi berkata, pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara wilayah penting bagi mengurangkan kebergantungan anak muda Sabah untuk berhijrah ke Semenanjung Malaysia demi mendapatkan pekerjaan dan pendapatan lebih baik.


Selain peluang pekerjaan, beliau berkata, Belanjawan 2027 perlu menyediakan sokongan lebih menyeluruh kepada anak muda yang ingin memulakan perniagaan tetapi berdepan kekangan modal dan pembiayaan.


Sehubungan itu, AMK Sabah mencadangkan dana khas keusahawanan anak muda menerusi geran permulaan, pembiayaan mikro, latihan perniagaan dan bimbingan pemasaran.


"Keutamaan wajar diberikan kepada usahawan muda luar bandar yang terlibat dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, makanan, perkhidmatan dan perniagaan digital.


"Kita mahu anak muda bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, tetapi turut berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," ujarnya.


Dalam aspek pendidikan, Zaidi berkata, kerajaan perlu memperluas bantuan pendidikan tinggi, biasiswa dan latihan kemahiran, termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya kepada golongan daripada keluarga berpendapatan rendah serta penduduk pedalaman.


Beliau turut mencadangkan supaya pusat latihan kemahiran diwujudkan atau diperkasakan di kawasan yang jauh daripada institusi latihan sedia ada, dengan kursus disesuaikan mengikut keperluan industri.


Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan anak muda mempunyai laluan lebih jelas untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan latihan.


AMK Sabah juga berharap Belanjawan 2027 memberikan perhatian kepada tekanan kos sara hidup yang dihadapi golongan muda, khususnya mereka yang baru memasuki alam pekerjaan dan perlu menanggung kos perumahan, pengangkutan, makanan serta keperluan keluarga.


Antara langkah dicadangkan ialah memperluas akses kepada perumahan mampu milik, skim pembiayaan rumah pertama dan bantuan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Zaidi berkata, pembangunan anak muda turut bergantung pada kemudahan asas, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah yang masih memerlukan penambahbaikan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik serta capaian internet.


Katanya, kerajaan perlu mempercepat pembangunan infrastruktur di kawasan seperti Kota Marudu, Pitas, Beluran dan Tongod, selain daerah lain yang masih memerlukan perhatian.


"Anak muda yang tinggal di kampung mesti diberikan peluang yang adil untuk menikmati kemajuan teknologi dan pembangunan ekonomi seperti mereka yang tinggal di kawasan bandar," katanya.


Beliau turut menggesa peningkatan peruntukan pembangunan sukan dan aktiviti belia di peringkat daerah serta luar bandar, termasuk penyediaan padang, gelanggang sukan dan pusat aktiviti belia.


Selain itu, program kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah perlu diperkasakan bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti serta mempunyai semangat perpaduan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.


Mengulas pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Zaidi berkata, kemajuan dalam agenda itu perlu diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat Sabah.


"Bagi generasi muda, MA63 bukan sekadar soal sejarah dan hak yang termaktub dalam perjanjian, tetapi juga berkaitan harapan untuk menikmati pembangunan yang lebih adil dan seimbang dalam Persekutuan Malaysia," katanya.


Beliau turut merujuk statistik DOSM bagi 2024 yang menunjukkan Sabah mencatatkan kadar kemiskinan mutlak sebanyak 17.7 peratus, tertinggi di Malaysia, walaupun kadar itu menurun berbanding 2022.


Katanya, usaha membasmi kemiskinan dan memperluas peluang ekonomi perlu terus diperkukuh supaya anak muda mempunyai ruang lebih besar untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.


Zaidi berkata, AMK Sabah berharap Belanjawan 2027 tidak hanya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan, sebaliknya melalui hasil pelaksanaan dasar yang dapat dirasai rakyat.


"Harapan kami agar Belanjawan 2027 bukan sekadar dilihat daripada jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi dinilai melalui perubahan sebenar yang dapat dirasai dalam kehidupan rakyat," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page