Belanjawan 2026 utamakan disiplin fiskal, tambah bantuan rakyat – AMK PJ
- Suara Keadilan
- Oct 12
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Petaling Jaya, Selangor menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai manifestasi kecekapan fiskal dan keprihatinan sosial Kerajaan MADANI dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta kebajikan rakyat terus terpelihara.
Naib Ketua AMK Petaling Jaya, Nur Hafizah Noslan berkata, belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), Jumaat lalu bukan sahaja memperlihatkan keberanian fiskal, tetapi juga mencerminkan keadilan sosial yang berpaksikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
"Belanjawan ini terus menumpukan kepada kestabilan ekonomi dan daya tahan negara dalam mendepani cabaran global. Belanjawan ini menekankan kecekapan tatakelola yang telus bagi mengurangkan ketirisan serta memperkukuh keadilan sosial berpaksikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, disiplin fiskal kerajaan terbukti apabila defisit negara berjaya diturunkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.8 peratus pada 2025, sekali gus menunjukkan pengurusan kewangan yang berhemah dan berdisiplin.

"Langkah ini membuktikan kejayaan pentadbiran MADANI dalam menegakkan disiplin fiskal yang bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur, tetapi turut mempertingkatkan siling ekonomi dan lantai kehidupan rakyat," ujarnya.
Dalam kenyataan itu, Nur Hafizah turut menyifatkan pelaksanaan subsidi bersasar sebagai langkah berani yang hanya mampu dilakukan oleh kerajaan berani dan berprinsip.
"Melalui Fasa satu penyasaran subsidi diesel pada Jun 2024, kerajaan berjaya menjimatkan RM5 bilion. Fasa kedua program BUDI95 pula dianggarkan menjimatkan RM2.5 bilion lagi.
"Walaupun pada awalnya sukar diterima rakyat, langkah ini terbukti berjaya membanteras penyelewengan dan penyeludupan.
"Bayangkan, subsidi yang selama ini dinikmati secara tidak wajar oleh warga asing dan syarikat besar, kini dipulangkan semula kepada rakyat Malaysia — terbukti menjadi satu bentuk keadilan pengagihan yang sebenar," jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, penjimatan hasil pelaksanaan subsidi bersasar wajar diterangkan secara telus kepada rakyat bagi memastikan keyakinan terhadap dasar fiskal kerajaan terus diperkukuh.
"Kementerian Kewangan disaran memperincikan bagaimana dana penjimatan ini diagihkan melalui program seperti MySARA, STR dan bantuan lain. Ketelusan ialah asas kepada keadilan sosial dan kebertanggungjawaban fiskal," katanya.
Dalam masa sama, AMK Petaling Jaya juga mengalu-alukan langkah kerajaan memperuntukkan RM13 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan sekitar 9 juta penerima, termasuk bantuan tunai RM100 kepada 22 juta rakyat dewasa pada Februari 2026.
"AMK Petaling Jaya berpandangan subsidi bersasar tidak seharusnya mengabaikan kelas pertengahan bandar yang turut tertekan dengan kos sara hidup.
"Maka bantuan SARA RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada Februari 2026 merupakan satu langkah progresif yang memastikan prinsip “no one is left behind”," katanya.
Sayap pemuda itu turut menyambut baik dasar pendidikan percuma melalui PTPTN kepada 5,800 anak keluarga miskin di IPTA, dengan peruntukan RM120 juta setahun.
"AMK Petaling Jaya percaya pendidikan ialah jalan keluar daripada kemiskinan. Usaha kerajaan menyediakan akses pendidikan berkualiti menunjukkan tekad membina masa depan lebih saksama untuk generasi muda," ujarnya.
Tambah Nur Hafizah, Belanjawan 2026 bukan sahaja dokumen ekonomi tetapi merupakan simbol komitmen kerajaan terhadap rakyat.
"Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI memperkukuh tatakelola berintegriti, meningkatkan kebajikan rakyat dan membina kepercayaan utuh antara rakyat dan kerajaan," akhirinya.
Comments