top of page

Belanjawan 2026 tumpu lindungi rakyat, perkukuh daya tahan isi rumah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

ree

Belanjawan 2026 bakal memperkukuh perlindungan sosial dan meningkatkan daya tahan isi rumah, di samping memacu pelaburan dalam sektor semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan, syarikat pemula niaga dan industri masa depan.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar) berkata, belanjawan yang akan dibentangkan Jumaat ini memberi tumpuan kepada perlindungan rakyat daripada tekanan kos hidup sambil meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang.


Tambahnya, keutamaan diberikan kepada keluarga yang berdepan cabaran mengurus belanjawan bulanan serta generasi muda yang mencari pekerjaan pertama.


"Belanjawan ini bukan langkah bersendirian tetapi permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan membentuk hala tuju pembangunan negara antara 2026 hingga 2030," katanya dipetik.


Amir Hamzah berkata, RMK13 akan menumpukan kepada pengindustrian semula menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Strategi Semikonduktor Nasional, di samping mempercepat peralihan tenaga serta memperluas pendigitalan ekonomi.


Belanjawan 2026 juga dijangka memperkukuh kedudukan fiskal negara dengan sasaran mengurangkan defisit kepada 3.8 peratus KDNK serta mengawal kebergantungan terhadap hutang melalui pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal 2023.


"RMK13 bukan hanya rancangan ekonomi, tetapi rancangan untuk rakyat – pekerjaan lebih baik, kos sara hidup lebih mampu, perusahaan kecil lebih kukuh dan peluang lebih luas untuk golongan muda," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan pelaburan asing tertinggi dalam sejarah, pengukuhan ringgit serta kadar inflasi dan pengangguran yang terus menurun.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page