top of page

Belanjawan 2026 terbaik bantu golongan B40, konsep ‘SARA for all’

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa menambah beban baharu kepada mereka, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).


Beliau berkata, keputusan kerajaan tidak memperkenalkan cukai baharu mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keadaan ekonomi rakyat yang masih dalam proses pemulihan.


"Tahun 2026, kerajaan tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu kerana Perdana Menteri tahu rakyat masih dalam keadaan yang susah. Fokus kerajaan adalah meningkatkan hasil negara melalui pentadbiran telus, mengurangkan ketirisan dan membanteras rasuah.


"Langkah kerajaan menambah baik pelbagai bentuk bantuan kepada golongan B40 jelas menunjukkan tumpuan bajet kali ini kepada kesejahteraan rakyat terbanyak.


"Antara inisiatif utama ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di mana setiap bulan RM100 akan diberikan kepada kira-kira 8 juta keluarga di seluruh Malaysia, termasuk golongan bujang.


"Ini satu inisiatif yang baik untuk membantu keluarga miskin mendapatkan barang keperluan harian. Malah, pelaksanaannya yang meliputi seluruh negara menunjukkan konsep ‘SARA for all’ benar-benar diterjemahkan," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau turut mengulas bantuan SARA sebanyak RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang kebetulan diagihkan semasa bulan Ramadan atau Tahun Baharu Cina pada Februari tahun depan, yang menurutnya menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat.


Selain bantuan langsung, Sim turut memuji usaha kerajaan yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan rakyat melalui kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 selepas tahun 2025.


"Laporan Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan gaji rakyat meningkat sekitar 5 peratus tahun ini. Ini menandakan ekonomi kita berada di landasan yang betul.


"Dan kita boleh lihat ekonomi semakin rancak melalui peningkatan aktiviti pelancongan dan perbelanjaan domestik," ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa pendekatan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seimbang, membantu rakyat tanpa menambah beban cukai, sambil memastikan perbelanjaan negara lebih cekap melalui rasionalisasi subsidi dan pembanterasan rasuah.


"Ini kerajaan yang memahami kesusahan rakyat dan pada masa sama, menjaga negara dengan cara yang lebih efisien dan bertanggungjawab," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page