Belanjawan 2026 pro rakyat: RM600 juta untuk Payung Rahmah di semua DUN
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Peruntukan berjumlah RM600 juta bagi pelaksanaan Program Payung Rahmah di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara adalah langkah pro-marhaen yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini.
Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Faiz Naaman berkata, langkah berani ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan sahaja menambah bantuan kepada rakyat, malah melaksanakannya tanpa memperkenalkan sebarang cukai baharu.
"Bagi saya, ini satu inisiatif yang unik dan wajar diteruskan kerana ia menunjukkan kerajaan benar-benar menjaga kebajikan rakyat. RM600 juta ini disalurkan untuk membantu penduduk di kampung dan kawasan luar bandar melalui jualan barangan keperluan asas dengan harga subsidi.
"Pelaksanaan program seperti Agro Madani, Jualan Rahmah dan lain-lain di bawah payung inisiatif ini akan dijalankan sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan di setiap DUN bagi memastikan manfaatnya sampai terus kepada kumpulan B40 dan golongan marhaen.
"Ini bukti kejayaan kerajaan menyalurkan bantuan tanpa cukai baharu, membuktikan kecekapan tadbir urus dan keberkesanan pembaharuan yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
"Kita dapat lihat kecekapan kepimpinan Perdana Menteri yang berjaya menutup ruang ketirisan dan pembaziran wang negara. Hasil penjimatan dan pengurusan cekap ini dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan seperti STR, SARA dan sebagainya," kata Faiz kepada Suara Keadilan.
Beliau turut menyamakan pengurusan negara yang cekap dengan analogi penggunaan bateri telefon pintar yang efisien, menunjukkan bahawa sumber yang sama boleh dimanfaatkan dengan lebih baik melalui pengurusan berintegriti.
"Negara kita ada sumber yang cukup. Selama ini masalah utama ialah pengurusan yang tidak cekap. Kini apabila kerajaan memperkukuh integriti dan tadbir urus, hasilnya kita lihat dalam bentuk lebihan (surplus) yang kembali kepada rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu beliau mencadangkan promosi dan publisiti program Payung Rahmah dihebahkan secara meluas agar rakyat mengetahui masa dan lokasi program dijalankan bagi mengoptima keberkesanan pelaksanaannya.
"Kerajaan sudah menyediakan inisiatif, cuma hebahan perlu diperluas supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya. Program ini bukan bersifat sementara, tetapi konsisten dan berterusan," katanya lagi.