Belanjawan 2026: Peruntukan meningkat 7% perkukuh keterjaminan makanan
- Suara Keadilan

- Oct 12
- 1 min read

Peruntukan besar kepada sektor pertanian dalam Belanjawan 2026 merupakan bukti nyata Kerajaan Madani amat menitikberatkan keterjaminan makanan dan usaha membela petani, penternak dan pesawah di seluruh negara.
Bagi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, beliau menyambut baik pembentangan Belanjawan Madani 2026 oleh Perdana Menteri yang memperkukuh sektor pertanian negara.
"Alhamdulillah, Bang Mat menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026: Belanjawan Rakyat oleh Perdana Menteri yang memberi tumpuan besar kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, peruntukan RM6.87 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), meningkat 7% berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan kesungguhan kerajaan MADANI memastikan rakyat terus menikmati bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan mampu milik.
Kata Mohamad, antara inisiatif utama yang diumumkan PMX termasuklah RM2.62 bilion subsidi dan insentif pesawah, kenaikan kadar insentif dan tambahan Insentif Penuaian Padi; RM55 juta bagi pengusaha buah-buahan tempatan seperti nanas, jambu air dan limau bali; Elaun sara hidup nelayan hingga RM300 sebulan serta diesel bersubsidi yang dikekalkan; Projek besar seperti Pemindahan Air Jeniang dan Sistem Pengairan Tersier MADA bagi menyokong lima musim penanaman padi dalam tempoh dua tahun; dan RM1.1 bilion pembiayaan Agrobank untuk membantu usahawan tani mengembangkan perniagaan dan menggalakkan automasi pertanian.
"Bang Mat yakin, Belanjawan 2026 ini akan terus memperkukuh keterjaminan makanan negara, menjamin kesejahteraan petani, nelayan dan usahawan tani, serta menjadikan sektor pertanian semakin moden, mampan dan berdaya saing," ujarnya.
Beliau yakin bahawa Belanjawan 2026 akan memperkukuh keterjaminan makanan negara, di samping menjamin kesejahteraan petani, nelayan dan usahawan tani.









Comments