Belanjawan 2026 perkukuh perlindungan sosial, daya tahan pekerja gig
- Suara Keadilan

- Oct 11
- 2 min read

Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai titik perubahan penting dalam memperkukuh perlindungan sosial, pembangunan kemahiran dan daya tahan ekonomi golongan pekerja gig di negara ini.
Penasihat PPRPM merangkap Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin berkata, pendekatan baharu kerajaan yang beralih daripada bantuan jangka pendek kepada pembinaan ketahanan jangka panjang itu membuktikan komitmen untuk melindungi pekerja gig secara menyeluruh.
"PPRPM menyambut baik Belanjawan 2026 yang memperlihatkan peralihan dasar daripada bantuan jangka pendek kepada pembinaan daya tahan jangka panjang, pembangunan kemahiran dan perlindungan sosial bagi golongan pekerja gig di Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, inisiatif i-Saraan Plus yang menawarkan padanan caruman RM600 setahun ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan had seumur hidup RM6,000 adalah langkah tepat ke arah mengukuhkan jaringan keselamatan sosial bagi pekerja sendiri.

"Ia menggalakkan budaya simpanan dalam kalangan pekerja sendiri dan mengiktiraf sumbangan ekonomi mereka yang sebelum ini kurang dilindungi dalam sistem formal," jelasnya.
Dalam masa sama, Bryan Ng menegaskan agar peruntukan RM3 bilion di bawah HRD Corp bagi tiga juta peluang latihan dilaksanakan secara telus dan inklusif, termasuk dengan kuota latihan khusus untuk pekerja gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing dan penghantar barangan.
Beliau turut memuji kesinambungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan subsidi 70 dan 50 peratus bagi sektor tertentu, namun menekankan perlunya penyelarasan data antara agensi seperti APAD, PERKESO dan platform digital agar semua pekerja aktif berlesen benar-benar dilindungi.
"PPRPM menekankan keperluan penambahbaikan dalam penyelarasan data antara APAD, PERKESO dan platform digital supaya semua pekerja aktif berlesen sah seperti PSV atau eVP benar-benar dilindungi tanpa pengecualian," katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025, Bryan Ng berkata hal itu merupakan satu lagi bukti kesungguhan kerajaan memperkukuh ekosistem pekerjaan baharu negara.
"Kami yakin akta ini akan menjadi asas penting dalam membina masa depan pekerjaan yang lebih mampan dan berdaya tahan," katanya.
Tegas beliau, Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, sebaliknya pengiktirafan rasmi terhadap struktur tenaga kerja baharu negara.
"Dengan pelaksanaan yang telus dan inklusif, Belanjawan 2026 berpotensi menjadi titik perubahan ke arah ekosistem pekerjaan gig yang lebih berdaya tahan, terlindung dan berwibawa — selaras dengan aspirasi Malaysia menuju ekonomi inklusif dan mampan," ujar Bryan lagi.









Comments