Belanjawan 2026 perkasa syiar Islam, peruntukan RM2.6 bilion
- Suara Keadilan

- Oct 11
- 1 min read

Kerajaan MADANI memperuntukkan RM2.6 bilion menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh syiar Islam di negara ini.
Usaha tersebut akan merangkumi insentif menaik taraf prasarana institusi pendidikan berteraskan Islam termasuk sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz.
Ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat pada Jumaa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM150 juta disediakan bagi menambah baik prasarana sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz termasuk penggantian peralatan pengajian usang di institusi pondok berdaftar.
"Kerajaan bersedia memperkasa kurikulum Islam tradisional dengan ilmu baharu seperti digital, AI dan TVET bagi melahirkan generasi Islam berdaya saing.
"Seramai 720 anak tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA yang boleh dimanfaat selepas tamat pengajian," katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa institusi masjid akan terus diimarahkan sebagai pusat komuniti melalui majlis ilmu dan penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026. Anugerah Masjid Malaysia akan diperkenalkan bagi mengiktiraf masjid cemerlang
"Majlis ilmu diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman umat MADANI terhadap Islam. Konvensyen Masjid bakal dianjurkan sebagai wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam serta teknokrat," tambahnya.
Pada pembentangan belanjawan tersebut, Anwar turut mengumumkan Yayasan Restu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mencetak sejuta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa utama dunia.
Kerajaan turut menaikkan had pengeluaran KWSP untuk ibadah haji kepada RM10,000. Kemudahan pengeluaran awal gantian cuti rehat (GCR) bagi penjawat awam turut diperluas bagi tujuan menunaikan haji dengan had sama, melibatkan peruntukan RM10 juta.









Comments