Belanjawan 2026: Pembangkang perlu tawar penambahbaikkan, bukan hanya kritik
- Suara Keadilan

- Oct 12
- 1 min read

Kritikan semberono pemimpin Pas terhadap Belanjawan Madani 2026 tidak menawarkan sebarang penyelesaian atau penambahbaikan untuk memperbaiki perancangan ekonomi negara.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim (gambar), berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bachok (MP), Syahir Sulaiman yang menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai suatu permulaan tempang untuk memenuhi aspirasi jangka panjang Rancangan Malaysia Ke-13.
"Kalau tanya MP Pas atau pimpinan Pas semua ikhtiar yang datang dari kerajaan ini teruk, tak betul, tak berfungsi dan terbaru, Belanjawan 2026 pula dikatakan tempang dan tak cukup berani," katanya dalam kenyataan.
Fakharuddin berkata, walaupun kerajaan memperuntukkan dana yang lebih besar berbanding ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir, termasuk kepada negeri di bawah pentadbiran Pas, parti itu tetap menuduh kerajaan zalim dan gagal.
"Kalaupun kerajaan peruntukkan berapa banyak pun, waima lebih banyak dari masa PN jadi kerajaan untuk negeri yang mereka tadbir, tetap dapat gelaran zalim. Itu lah Pas. Mudah nak kritik, berbanding memberi cadangan," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Belanjawan 2026 bukan sekadar angka atau janji, tetapi kesinambungan kepada reformasi ekonomi yang sedang menunjukkan hasil nyata.
"Pelaburan meningkat, inflasi terkawal, dan bantuan rakyat diteruskan dengan cara lebih berfokus. PM Anwar membentang dengan penuh tanggungjawab, bukan dengan retorik politik. Setiap sen dibelanja untuk bina semula asas ekonomi negara," katanya lagi.
Fakharuddin mencabar Pas supaya mengemukakan pelan ekonomi mereka sendiri jika benar-benar yakin parti itu lebih baik mentadbir negara.
"Kalau Pas betul-betul yakin mereka lebih baik, bentangkan pelan sendiri. Jangan sekadar cari salah orang. Rakyat hari ini mahu solusi, bukan slogan," katanya.
Tegas Fakharuddin, Belanjawan 2026 membuktikan kerajaan MADANI adalah kerajaan yang bekerja, bukan berdrama demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.









Comments