Belanjawan 2026 lulus peringkat dasar, tingkat ekonomi wilayah Borneo
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ekonomi wilayah Borneo bakal mendapat pelbagai peruntukan dengan lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) pada peringkat dasar semalam.
Kelulusan tersebut diharap dapat memberi impak positif kepada peningkatan kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan khususnya di Sarawak.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit, menyuarakan harapan agar konsep pembangunan seimbang dan aspirasi Malaysia MADANI dapat diterjemahkan secara nyata melalui pelaksanaan Belanjawan 2026 demi memastikan kemajuan yang inklusif dan adil kepada semua rakyat.
"Saya juga berharap agar di peringkat seterusnya, perbahasan Jawatankuasa, Bajet akan memberi tumpuan kepada isu ketirisan, keberkesanan agihan peruntukan dan pelaksanaan projek-projek rakyat supaya Bajet 2026 benar-benar mencapai matlamatnya.

"Saya menyambut baik keputusan Dewan Rakyat yang telah meluluskan RUU tersebut di peringkat dasar dengan keputusan undi sebanyak 120 bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.
"Kelulusan di peringkat dasar ini mencerminkan sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadap dasar fiskal menyeluruh dan berimbang yang digariskan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini iaitu pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri (PM) yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan belanjawan bertemakan “Belanjawan Rakyat”, memperuntukkan RM470 bilion merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion pembangunan.
Selain itu, ia turut melibatkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (RM30 bilion), awam swasta (RM10 bilion) serta badan berkanun dan syarikat MKD (RM10.8 bilion).
Sementara itu menurut takwim Parlimen, perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi RUU itu akan bermula hari ini hingga 27 November depan.





