Belanjawan 2026: KPM fokus kerangka antibuli, pendidikan digital, TVET
- Suara Keadilan

- Aug 30
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmen untuk memperkukuh agenda pendidikan negara termasuk prasekolah menerusi Belanjawan 2026 yang akan datang.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, menerusi perbincangan bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini, pihaknya membawa beberapa tumpuan utama hasil daripada siri dialog dan konsultansi awal bersama pemegang taruh sektor pendidikan.
"Belanjawan 2026 yang merupakan siri keempat dalam Belanjawan MADANI memberi penekanan kepada usaha memulih daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat berlandaskan Kerangka Ekonomi MADANI.
"Dalam konteks pendidikan, ia penting kerana selari dengan agenda besar KPM seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Persekolahan 2027," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut Fadhlina menjelaskan, antara fokus yang diketengahkan termasuk usaha mempercepatkan pendidikan digital dan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu tumpuan turut diberi dalam usaha mewujudkan kerangka anti-buli di institusi pendidikan, memperkasa prasekolah serta mengangkat potensi murid berkeperluan pendidikan khas.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Senator Menteri Kewangan II dan pasukan beliau atas pertimbangan yang diberi," tambahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada 4 petang di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.









Comments