Belanjawan 2026 bukti pembelaan Islam Kerajaan Madani bukan retorik
- Suara Keadilan

- Oct 12
- 2 min read

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN menegaskan bahawa pembelaan terhadap Islam di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI bukan sekadar retorik politik, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan dasar yang nyata.
Pengarah BiPPA KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) berkata, Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu merupakan bukti kukuh komitmen kerajaan dalam memartabatkan Islam dan memperkukuh institusi pendidikan Islam di seluruh negara.
"Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat petang Jumaat yang lalu, jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memartabatkan Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bagi meneguhkan pendidikan Islam, langkah kerajaan memperkukuh institusi pondok dan memperkenalkan latihan TVET untuk para pelajar pondok adalah satu pendekatan progresif bagi melahirkan generasi Islam yang seimbang antara ilmu agama dan kemahiran hidup.
"Para pelajar pondok akan dilengkapkan dengan TVET bagi menghadapi persaingan dalam masyarakat. Mereka seharusnya menjadi contoh dalam segenap segi kehidupan, bukan sahaja penguasaan ilmu agama, tetapi juga kemahiran hidup yang lain," jelas beliau.
Dalam pada itu, Amidi menyeru agar 160 institusi pendidikan Islam yang belum berdaftar untuk segera mengambil langkah mendaftarkan institusi masing-masing bagi memudahkan penyaluran bantuan serta memastikan tadbir urus yang lebih baik.
Di samping beliau juga menolak dakwaan pihak tertentu yang menuduh Kerajaan MADANI memusuhi Islam, sambil menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.
"Dalam banyak tindakan, PM telah membuktikan keikhlasannya mengangkat martabat institusi pengajian Islam tanpa mengira latar belakang politik.
"Sebagai buktinya sebuah masjid di Kelantan yang tertangguh pembinaannya kerana kekurangan dana, lalu dibantu dengan peruntukan dari kantung kerajaan pusat biarpun masjid tersebut diusahakan oleh bekas pimpinan utama Kerajaan Pas Kelantan," katanya.
Menurut beliau, kestabilan politik merupakan asas kepada kekuatan Islam, selaras dengan prinsip yang diamalkan Rasulullah SAW ketika membentuk Kerajaan Madinah.
Oleh kerana itu, kata Amidi, PM tidak memusuhi negeri negeri pembangkang asalkan saling menyokong sebagai sebahagaian daripada Kerajaan Persekutuan.
"Maka diharapkan tiada lagi suara-suara sumbang yang mendakwa Kerajaan MADANI memusuhi Islam dan mendakwa Islam terancam di bawah kepimpinan Perdana Menteri
"Jelas Islam dapat dipelihara jika kestabilan politik dapat dijaga dengan baik. Ia juga menjadi salah satu agenda Baginda Rasulullah s.a.w yang menumpukan kestabilan politik Kerajaan Madinah al-Munawwarah menerusi pemuafakatan Sahifah Madinah
"Islam akan dipijak jika kerajaan Islam itu lemah. Gagal memenuhi keperluan rakyat dan tidak dapat membela kebajikan masyarakat terbanyak," ujarnya.
BiPPA juga berharap peruntukan RM2.6 bilion untuk institusi Islam dalam Belanjawan 2026 dapat diuruskan dengan penuh amanah.
"Adalah pengkhianatan kepada Islam jika kakitangan yang diamanahkan mensabotaj dengan memburukkan imej Kerajaan MADANI," kata Amidi lagi.









Comments